Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 19 kes baharu

423
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 26 Mac : Sebanyak 19 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 19 kes tersebut kesemuanya adalah daripada kategori kes tempatan.

JKNM juga melaporkan sebanyak 21 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 251 kes masih dirawat di Hospital Melaka termasuk dua kes ICU.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek, Kluster Teknologi Lot Enam dan Kluster DTI Machap Umboo sementara kluster luar yang ada kaitan dengan kes Melaka ialah Kluster Jalan Satang (HKL) dan Kluster Bunga Tanjung Bendahara (Kedah).

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 28 mukim berada di zon hijau dan hanya tiga mukim lagi berada di zon kuning.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 13 mukim di dalam zon hijau, 15 mukim lagi di dalam zon kuning, dan satu mukim dalam zon merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 17 mukim adalah di dalam zon hijau, sementara empat lagi adalah dalam zon kuning.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 478 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 213 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 339,443 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.