Home Berita PAS Kelantan

Kelantan simpan 10 kg jongkong emas setahun

4813
SHARE

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperkenalkan kaedah pungutan baharu royalti emas dengan menetapkan 2 peratus daripada 10 peratus bayaran royalti dibuat dalam bentuk jongkong emas.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kaedah itu dilaksana bermula tahun lepas.

Katanya, kerajaan negeri menjangka sekurang-kurangnya 10 kilogram jongkong emas boleh disimpan setiap tahun.

“Ia akan menjadi sebanyak 50 kilogram rizab simpanan emas untuk tempoh lima tahun,” katanya pada majlis penyerahan royalti jongkong emas kepada kerajaan negeri di sebuah hotel hari ini.

Program itu disempurnakan Pemangku Raja Kelantan dan turut hadir Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Abdullah Ya’kub.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Faudzi Che Mamat, anggota-anggota Exco, Pengarah Tanah dan Galian, Dato’ Nazran Muhamad, Mufti Kelantan, Dato’ Muhd Shukri Muhammad dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dato’ Dr Wan Zawawi Wan Ismail.

Perlombongan emas berskala besar dilaksanakan PKINK dengan usahasama CNMC Mining Sdn Bhd sejak 2014 di Sokor Tanah Merah. –HARAKAHDAILY 28/2/2018