Home Berita PAS Selangor

PAS perjuangkan negara, sebahagian tuntutan agama.

2208
SHARE

BTHO, 4 Mac 2018 – Ucapan taujihat yang diberikan Ust Nushi Dato Mahfodz dalam Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-34 PAS Kawasan Serdang telah disambut dengan laungan takbir perwakilan yang hadir.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Serdang ini, PAS bukan sebuah parti yang mengangkat Islam semata, tetapi parti ini turut berjuang menjaga negara agar dilindungi Allah.

“PAS bukan parti syok sendiri, tetapi kita berjuang untuk membawa mesej kenegaraan kepada rakyat agar negara ini dilindungi Allah.”

Ustaz Nushi juga mengajak para perwakilan menghayati lagu tema PAS kerana ia adalah penterjemahan daripada ayat Al-Quran. Seruan lagu PAS yang mengajak seluruh ummat Islam bersatu perlu diterjemahkan dalam tindakan.

Beliau turut menegaskan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) merupakan satu medan menegur untuk membina kekuatan parti.

“Janganlah kita jadikan AGM hanya untuk penuhi tuntutan ROS sahaja, tetapi ingatlah bahawa AGM ini adalah kemuncak proses tarbiyah yang ada.

“Ia adalah medan yang membentuk disiplin ahli membuat keputusan dalam keadaan insaf dan menyerah kepada Allah SWT.”

Dalam pada masa yang sama, Ustaz juga menyeru perwakilan mengambil ibrah daripada alunan suci AlQuran yang dibacakan Ust Amir Rahman bin Abas semasa permulaan majlis.

Ayat 149-152 Surah Ali Imran merupakan penceritaan kisah perang Uhud yang sarat dengan adab kepada ahli gerakan Islam.

“Ayat ini adalah peringatan kepada ummat Islam untuk hindari perasaan ragu dengan kepimpinan. Ia juga mengingatkan kita agar tidak mengambil peduli suara orang munafik yang ingin melemahkan kekuatan orang Islam”.

Justeru, pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang merupakan satu pendekatan yang baik kepada masyarakat.

” BPMS yang dibawa Tuan Guru Presiden adalah merupakan politik dakwah yang dianjurkan Islam. Ahli PAS harus elakkan daripada membawa politik yahudi yang membawa fitnah dan memburukkan orang lain”.

Akhirnya, beliau mengingatkan perwakilan agar mentaati arahan pimpinan pada fasa terakhir pilihanraya kali ini.

“Kita berada dalam fasa akhir pilihan raya, maka seharusnya kita perlu mentaati arahan pimpinan.

“Bila berhadapan situasi besar, kita perlu bersatu hati untuk menjaga bahtera, cermat dan amanah untuk patuh dengan arahan dan tidak membuat keputusan sendiri kerana keputusan pimpinan adalah merupakan keputusan jemaah dan ia adalah satu perjuangan yang menunjukkan keindahan agama Allah”.