Home Berita PAS Kelantan

Kelantan juara Anugerah Inovasi Pavilion Negeri

194
SHARE

KUALA LUMPUR, 23 Oktober: Kerajaan Negeri Kelantan menjuarai kategori Anugerah Inovasi Pavilion Negeri sempena Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) 2022.

Program berskala antarabangsa tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 Oktober.
Exco Teknologi Hijau negeri YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pada tahun ini, Pavilion Kerajaan Negeri yang diuruskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bersama Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (Mubaarakan), anak syarikat PMBK, dan Pengurusan Sisa Pepejal Mubaarakan Sdn Bhd (anak syarikat Mubaarakan) telah mengetengahkan enam projek untuk diuar-uarkan kepada pengunjung sepanjang pameran tersebut.

“Projek yang terlibat ialah pembangunan integrasi projek solar terapung, akuakultur dan pelancongan eko dibangunkan di satu lokasi dijenamakan sebagai Danau To’ Uban Eco Green Park. Projek tersebut digazetkan yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara,” jelasnya.

Tambahnya, empat projek lain ialah pertanian pintar di Rong Chenok, projek pembungkusan biodegradable (mesra alam) berasaskan sisa jerami padi dan projek penternakan Lalat Askar Hitam (BSF).

“Termasuklah, penerimaan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) bernilai RM3 juta oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri Kelantan dan juga mengetengahkan penyertaan MDTM di dalam Low Carbon City 2030 Challenge.

Trofi kejuaraan diterima Pengurus Kanan Pembangunan Korporat Mubaarakan, Mahadi Mokhtar mewakili Kerajaan Negeri Kelantan daripada Timbalan Ketua Setiausaha KASA Noor Afifah Abdul Razak.

Mengulas lanjut, YB Tuan Saripudin menerangkan Kerajaan Negeri Kelantan telah mula menyertai IGEM sejak tahun 2014.
“IGEM ialah platform Kerajaan Negeri Kelantan menarik pelabur dari sektor teknologi hijau. Hasilnya, beberapa pemain industri telah melabur dengan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri menerusi anak syarikatnya iaitu Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (Mubaarakan).

Antara pelabur yang sudah berjaya bersinergi dengan agensi Kerajaan Kelantan ialah Cypark Resources Berhad melalui projek Ladang Solar Terapung berkapasiti 60MWac di Tasik Danau To’ Uban, Pasir Mas dan Go Automobile Sdn Bhd yang memperkenalkan 20 beca elektrik di sekitar Kota Bharu dan mempopularkan buggy elektrik di kawasan Air Terjun Lata Berangin dan Mini Zoo di Kuala Krai.

Manakala Kelantan Pay pula dibangunkan dengan kerjasama Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd, Mubaarakan dan Zen Trillion Sdn Bhd sebagai platform pembayaran digital Negeri Kelantan.

Di samping itu, Mubaarakan memanfaatkan IGEM untuk menjalinkan hubungan dengan pemegang taruh penting dalam industri teknologi hijau melalui agensi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) iaitu Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Antara projek yang berjaya dilaksanakan ialah semua PBT di Kelantan telah menerima Geran Gerak bernilai RM3juta untuk melaksanakan projek Bandar Rendah Karbon, semua PBT telah mendaftar dalam Program Low Carbon City 2030 Challenge, pelaksanaan Program Rumah Ibadat Hijau di Negeri Kelantan dan pelaksanaan Program Komuniti Lestari di Pulau Gajah.

Bahkan, IGEM juga memberi impak positif kepada Mubaarakan menjalinkan inisiatif bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), agensi kelolaan Pejabat Perdana Menteri dan Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dalam Penyediaan Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan 2019-2023.