Home Berita PAS Kelantan

Kelantan hantar bantuan RM150 ribu ke Kedah

107
SHARE

Oleh NORZANA RAZALY

KOTA BHARU, 25 Ogos: Susulan bencana fenomena kepala air di Gunung Jerai, 18 Ogos lalu, Kerajaan Negeri Kelantan menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan ke Kedah.

Majlis pelepasan misi bantuan membabitkan konvoi empat buah kenderaan pacuan empat roda, dua buah lori dan 17 ahli rombongan itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, hari ini.

Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi mewakili Menteri Besar ke sana berkata, bantuan ini diharap dapat membantu meringankan beban 1800 mangsa terlibat.

Tambahan pula, tragedi itu berlaku pada masa penularan pandemik COVID-19 yang masih tinggi.

“Bantuan Kerajaan Kelantan berbentuk tunai RM100 ribu, manakala peralatan harian seperti periuk nasi, telekung solat dan pensanitasi tangan adalah sumbangan orang ramai melalui Tabung Banjir Kedah bernilai hampir RM50 ribu”, kata Dato’ Mumtaz sejurus majlis pelepasan.

Tambahnya, bantuan tersebut bertepatan dengan penghayatan ibrah Hijratul Rasul yang menitikberatkan semangat persaudaraan.

“Kita zahirkannya melalui Misi Bantuan Kemanusiaan Banjir Kilat Kedah”, ujarnya dan turut berterima kasih kepada seluruh rakyat Kelantan yang dermawan.

Seterusnya, beliau memaklumkan konvoi pasukan dijangka membuat serahan sumbangan di Wisma Darul Aman yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah sebelum diagihkan ke kawasan terkesan.

Delegasinya diiringi Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd Asri Mat Daud, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki dan pegawai serta pihak Pertubuhan Sukarelawan Rakyat Kelantan (MESRA).

#MisiBantuanKemanusiaanKelantan2Kedah