Home Artikel PAS Kelantan

Kelantan belum terima royalti seperti dijanji

97 views
SHARE

OLEH SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man berharap Kerajaan Persekutuan akan membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan seperti yang dijanjikan sebelum ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, Kerajaan Pusat sepatutnya menunaikan janji tersebut dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan esok memandangkan Kelantan juga telah menunaikan permintaan Kerajaan Pusat untuk menarik balik kes mahkamah berkenaan royalti petroleum negeri itu.

“Kerajaan negeri sudah menunaikan hampir semua permintaan Kerajaan Pusat dan saya fikir tiada sebab mereka tidak tunaikan janji.

“Kita harap dapat ditunaikan pada bajet ini, harapan kita besar bajet kali ini berjaya mengemukakan hala tuju yang lebih jelas terhadap masa depan ekonomi kita terutama bagaimana untuk meningkatkan hasil,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya berdasarkan belanjawan tahun lepas, Kerajaan Malaysia dilihat gagal membuat jangkaan terhadap harga minyak dunia.

“Kalau bajet yang lalu, kerajaan gagal membuat jangkaan pada harga minyak. Apabila kerajaan letak pada paras USD70 (RM293.51) setong tapi realitinya adalah USD50 (RM209.65) setong.

“Akibatnya kerajaan hilang fokus dan terpaksa ‘cover’ dengan kos lain. Kita harap kali ini kerajaan lebih berhati-hati dan menumpukan kepada sumber yang lebih stabil,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/10/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/13548-kelantan-belum-terima-royalti-seperti-dijanji