Home Berita PAS Kelantan

Kelantan bakal terima 438 ribu dos vaksin bulan ini

65
SHARE
Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA
PASIR PEKAN, 11 Jul: Kelantan dijangka menerima 438 ribu dos bekalan vaksin secara berperingkat seperti yang diumumkan pada Fasa 2, Pelan Pemulihan Negara (PPN) baru-baru ini.
Demikian menurut Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob pada sidang media di Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di Sekolah Menengah Kebangsaan (A) Falahiah Pasir Pekan, hari ini.
Katanya, program outreach semakin mendapat sambutan baik daripada orang ramai terutama dengan adanya kerjasama daripada pejabat DUN, penghulu dan sukarelawan.
“Jika program seperti ini terus berjalan lancar insya Allah kita akan dapat mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok sekitar Oktober ini.
Ini lebih baik memandangkan kebiasaannya pada hujung tahun kita berdepan dengan musim tengkujuh yang akan menjejaskan urusan kita,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pekan.
Program yang dijadualkan berlangsung selama empat hari tersebut membabitkan 800 penerima imunisasi COVID-19.
Turut hadir, ADUN Pengkalan Kubor, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, ADUN Kelaboran, YB Adanan Hassan, ADUN Wakaf Bahru, YB Mohd Rosli Abdullah dan Ketua Jajahan Tumpat, YABrs Rusydee Abdullah.