Home Berita PAS Johor

Elemen tarbiyah dan penerangan sebagai penggerak dan pembina

66
SHARE

 

Oleh : HAFSAH ABD RAHMAN

TEBRAU, 25 Jul : “Tarbiyah berperanan membina jentera yang berkualiti dalam hubungan terhadap Allah dan sesama manusia, manakala penerangan pula menjadi medium untuk gerak kerja” ujar Naib Presiden PAS, YB Senator Ustaz Idris Ahmad ketika memulakan ucapan taujihatnya dalam Konvensyen Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Johor yang berlangsung secara atas talian, semalam.

Menurut beliau, penerangan dan tarbiyah menjadi komponen penting yang perlu saling berkolaborasi demi menegakkan tujuan dan peranan PAS di persada tanahair.

“Dalam mendepani suasana pandemik dan alaf baru ini, semua ejen penerangan perlu beradaptasi menggunakan pendekatan semasa seperti revolusi 4.0, media sosial, “big data” dan konsep langit terbuka” ujar beliau.

Menyentuh peranan media sosial yang bersifat interaktif, beliau juga turut mengingatkan agar semua jentera penerangan yang bertugas di lapangan media sosial untuk menjaga adab dan akhlak sebagai seorang Muslim dan duta kepada Parti Islam Semalaysia (PAS).

“Utamakan akhlak mendahului ilmu (content) yang ingin disampaikan kepada masyarakat umum” tegas beliau.

Ustaz Idris juga menekankan masyarakat sentiasa menilai penampilan dan kata-kata setiap jentera PAS.

“Suasana hari ini terdapat kewujudan golongan yang membenci politik, sedangkan politik Islam yang dibawa oleh PAS sentiasa menyeru kepada kesatuan, kasih sayang serta beramanah dalam menjalankan tugas” tambah beliau lagi.

Beliau juga memetik kata Hukama’ yang berbunyi ‘Lisanul Hal Aqwa Min Lisanil Maqal’ yang bermaksud bahasa sikap itu lebih tinggi daripada bahasa ucapan, beliau menyatakan penerangan yang paling berkesan adalah penerangan yang disampaikan dengan amalan.

“Media PAS perlu sentiasa ketengahkan aktiviti PAS terhadap masyarakat sebagai bukti kerja buat ahli dan pimpinan PAS di semua peringkat” kata Ustaz Idris.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru supaya setiap ahli PAS menjadi pemudahcara kepada rakyat, berpolitik untuk membantu rakyat, bermatlamatkan kehidupan akhirat.

Konvensyen Penerangan Media Baharu 2021 peringkat PAS Johor yang berlangsung pagi semalam dianjurkan oleh Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Negeri Johor telah dihadiri seramai 135 orang peserta dari seluruh kawasan Negeri Johor.

Ustaz Idris juga berkesempatan meluangkan masa untuk menjawab persoalan yang diajukan oleh peserta konvensyen ketika sesi soal sesi jawab dihujung program.

Program konvensyen yang berlangsung ini juga turut menampilkan pembentangan antaranya daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzzaman Mohamad yang membahaskan isu-isu semasa.