Home Berita PAS Kedah

Kedah percepat pemasangan air, elektrik di KRC

74
SHARE

Oleh AMAL NABILA

ALOR SETAR, 6 Okt – Kerajaan negeri komited menyelesaikan kerja-kerja pemasangan tenaga elektrik dan bekalan air di tapak projek Kedah Rubber City (KRC) dalam tempoh setahun.

Menteri Besar, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bekalan air dan elektrik itu penting untuk membolehkan syarikat yang melabur beroperasi sepenuhnya secepat mungkin.

“Kita akan tubuhkan unit tindakan khas di peringkat negeri dan agensi seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) bagi mencari penyelesaian terbaik mempercepatkan kerja-kerja teknikal sebab kita ada komitmen bersama beberapa syarikat yang masuk melabur,” ujar beliau.

Katanya, KRC berjaya menarik pelaburan bernilai RM1.55 billion daripada dua syarikat produk berasaskan getah.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas kunjung hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ke atas Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Menurut Haji Sanusi, KRC memerlukan satu loji rawatan air khusus bagi menampung keperluan industri di sana.

“Kita harap dengan pembinaan satu lagi loji rawatan air di Kuala Nerang nanti yang akan mengambil sumber air mentah daripada Sungai Padang Terap dapat selesaikan keperluan ini.

“SADA dan beberapa syarikat telah hantar permohonan dan kerajaan sudah minta Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Kedah (BPEN) buat perbincangan di beberapa peringkat. Saya harap dalam tempoh setahun kita akan ada di khusus kepada KRC,” kata beliau.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri Pelaburan, Sains Teknologi dan Inovasi, YB Dato’ Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Ustazah Siti Ashah Haji Ghazali.

“Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua”