Home Berita PAS Kelantan

Kampung Laut Kampung Warisan

63
SHARE

Oleh NIK AZMAN NIK MUSTAFA

TUMPAT, 10 Ogos: Kampung Laut sebelum ini sudah terkenal sebagai kampung warisan dengan berimejkan Masjid Kampung Laut sebagai salah satu khazanah warisan yang beratus tahun usianya dan mempunyai nilai sejarah yang cukup penting di rantau ini.

Apabila bangunan masjid ini dipindahkan ke Nilam Puri nilai Kampung Laut sebagai kampung warisan terjejas walaupun namanya masih terpahat kukuh di dalam lipatan sejarah negara.

Sejarah membuktikan Kampung Laut pernah menjadi pusat kegiatan sosial, ekonomi dan dakwah yang cukup popular suatu waktu dahulu dengan kedudukannya yang strategik di laluan Sungai Kelantan.

Tentu dapat dibayangkan kesibukan di pengkalan Kampung Laut dengan aktiviti perniagaan di pesisiran sungai yang sentiasa dikunjungi oleh peniaga daripada Patani dan Kemboja suatu waktu dahulu.

Penghulu Kampung Laut, Ghazali Harun ketika ditemui menzahirkan kegembiraan apabila Masjid Kampung Laut dikembalikan ke tempat asalnya sekaligus kawasan sekitarnya dibangunkan sebagai Projek Warisan Kampung Laut.

“Ini adalah hadiah terbesar daripada YAB Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob yang selama ini telah berusaha membawa pembangunan kepada penduduk di sini semenjak menjadi wakil rakyat kawasan ini.

Kampung Laut yang sudah lama terkenal sebagai kampung warisan serta popular di seluruh negara dengan produk makanan tradisional seperti serunding, dodol, gelembung buaya, keropok, kerepek dan lain-lain, diyakini suatu masa nanti akan ramai yang berminat untuk berkunjung ke sini apabila terdapat banyak kemudahan tersedia ,” katanya.

Tambahnya, walaupun pada peringkat awal timbul sedikit masalah dengan segelintir penduduk di sini, tetapi sekarang mereka sudah dapat menerima hakikat.

“Selain bertujuan untuk pembangunan sosio ekonomi penduduk di sini, kita mengharapkan melalui projek ini dapat mengembalikan sejarah kegemilangan Kampung Laut sebagai kampung warisan yang mempunyai nilai sejarah yang cukup tinggi,” tambahnya lagi.

Beliau berharap, khususnya kepada penduduk di sini agar mengambil kesempatan melalui kemudahan yang disediakan untuk sama-sama membangunkan Kampung Laut sebagai kampung warisan yang sentiasa menjadi tarikan pelancong.