Home Berita PAS Terengganu

Jumaat hari ilmu

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Hari Jumaat telah diisytiharkan sebagai ‘Hari Ilmu’ bermula 2019 semenjak PAS mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, YAB Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Penolong Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata,
pengisytiharan itu bertujuan untuk meningkatkan budaya cintakan ilmu.

“Ilmu menjadi tonggak kepada pembangunan ketamadunan dan modal insan serta mampu mewujudkan insan kualiti dan mengoptimumkan pengupayaan sumber manusia sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).” ujar beliau.

Ustaz Khalil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata demikian dalam satu kenyataan media, semalam.

Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh rakyat Terengganu menghayati anugerah Allah, ‘penghulu hari’ itu dengan berlumba-lumba menuntut ilmu.

“marilah kita sama-sama membudayakan saranan YAB Menteri Besar ini dengan menanamkan dalam diri kita bahawa setiap hari Jumaat adalah Hari Ilmu,

” menterjemahkannya dengan mengikuti kuliah atau pengajian ilmu mahupun aktiviti-aktiviti seumpamanya yang berteraskan ilmu.” tambah beliau.

Sehubungan dengan itu, kata beliau, adalah digalakkan untuk “membuka” Hari Ilmu pada Jumaat yang mulia ini dengan menghadiri Kuliah Dhuha di Masjid Rusila. Walaupun ia boleh diikuti secara maya namun terdapat kelebihan mahupun fadhilat kepada yang menghadirinya.

“Di antara kelebihan mahupun fadhilatnya adalah berada di dalam masjid, menuntut ilmu secara langsung dari guru dan mengeratkan persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam.” jelasnya.

ADUN Batu Buruk itu memetik satu hadis daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: “ Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kita Allah ( Al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada disisi-Nya. (Riwayat Muslim 4867) .