Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Judi: Banteras Habis-Habisan, Contohi Kerajaan Negeri Kelantan

384
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Judi: Banteras Habis-Habisan, Contohi Kerajaan Negeri Kelantan 

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tegas menentang semua bentuk perjudian yang beroperasi dalam negara dan pendirian ini konsisten sejak awal penubuhan PAS.

Selain nombor ekor, perjudian atas talian juga sangat membimbangkan dan semakin giat beroperasi. Kegiatan ini perlu segera dibanteras sehingga ke akar umbi oleh pihak kerajaan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

PAS juga menyeru agar semua negeri mencontohi pentadbiran 30 tahun negeri Kelantan yang telah mengarahkan semua PBT melarang mengeluarkan lesen premis kepada semua jenis perjudian di negeri tersebut.

PAS membantah sekeras-kerasnya jika ada cubaan untuk meningkatkan jumlah cabutan judi di negara ini. Di kala negara berdepan dengan pandemik COVID-19, sewajarnya rakyat tidak mengambil jalan keluar yang mudah menghadapi kesulitan. Sebaliknya PAS yakin dengan bantuan yang akan disalurkan melalui Belanjawan 2021 mampu membantu rakyat mengharungi cabaran ini.

Kerajaan yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan untuk mengubah minda masyarakat agar melihat judi sebagai satu bentuk penyakit yang akan merosakkan institusi keluarga, masyarakat dan negara. Malah, kegiatan judi tidak membawa sebarang manfaat bahkan lebih besar mudarat.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah Al-Maidah: 90)

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
31 Disember 2020 | 16 Jamadil Awal 1442