Home Dewan Ulamak PAS Pusat

Muhasabah Tahun 2020 Untuk Kebangkitan Tahun 2021

363
SHARE

PERUTUSAN KHAS
Dewan Ulamak PAS Pusat

16 JUMADIL ULA 1442  l  31 DISEMBER 2020

MUHASABAH TAHUN 2020 UNTUK KEBANGKITAN TAHUN 2021

1. Tahun 2020 merupakan tahun yang unik dengan pelbagai peristiwa yang berlaku sama ada dalam negara mahupun antarabangsa. Dalam musibah yang berlaku tetap ada juga nikmat yabg diberikan, kedua-duanya datang dari Allah SWT menjadi ujian kepada kita selaku hamba-Nya sama ada untuk disyukuri dan bermuhasabah. Tidak ada sesuatu yang terjadi melainkan ia dalam ilmu Allah SWT dan terjadi atas ketetapan-Nya.

Firman Allah SWT :

(قُل لَّن یُصِیبَنَاۤ إِلَّا مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَنَا هُوَ مَوۡلَىٰنَاۚ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡیَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ)

Maksudnya :
Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”. – [Surah At-Tawbah 51]

2. Dari sudut politik, negara kita mengalami satu perubahan yang lebih baik apabila terbentuk kerajaan Perikatan Nasional setelah berlakunya ketidakstabilan politik ekoran masalah dalaman dalam PH dengan kemuncaknya peletakan jawatan Tun M selaku PM ke-7. Dengan izin Allah, dan kebijaksanaan YDP Agong dalam mengendalikan suasana politik yang tidak stabil ini, dapat disaksikan bagaimana semangat muafakat yang diterajui oleh PAS dan UMNO kini membentuk satu gagasan penyatuan ummah bagi objektif memelihara kepentingan Islam, ummah dan negara.

3. Kerjasama dalam penyatuan ummah ini bukan hanya terhad kepada “siapa” tetapi ia mempelopori “apa” berdasarkan objektif yang jelas sebagaimana firman Allah SWT :

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَ ٰ⁠نِۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِیدُ ٱلۡعِقَابِ)

Maksudnya :
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). – [Surah Al-Ma’idah 2]

4. Suasana politik negara terus lebih stabil di bawah pentadbiran kerajaan PN secara umumnya. Walau cuba digoyahkan oleh pihak musuh dalam media sosial namun seruan penyatuan ini ialah memberikan 1001 titik persamaan berbanding dari hanya 1 titik perbezaan yang wujud. Di sinilah juga peranan para ulamak, pendakwah dan asatizah bagi membawa 1 imej yang sama ke arah kesatuan ummah dengan saling memberikan nasihat dengan kebenaran dan kesabaran bagi mengelakkan kerugian jika terus menerus ummah dalam perpecahan.

Firman Allah SWT :

(إِلَّا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡا۟ بِٱلصَّبۡرِ)

Maksudnya :
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. – [Surah Al-Asr 3]

5. Namun di peringkat antarabangsa khususnya di Timur Tengah pula amat mendukacitakan apabila satu persatu negara-negara Arab menjalinkan hubungan rasmi dengan negara haram Israel. Di kala dunia berhadapan kesukaran berhadapan impak negatif pandemik, namun ia berbeza dengan negara haram Israel yang dilihat mencapai “kejayaan demi kejayaan” pafa tahun 2020 dengan proses normalisasi penerimaan “Israel” di negara negara Arab.

6. Di mana sensitiviti ummah pemimpin negara Arab yang lebih “mesra” dengan normalisasi Israel sedangkan dalam masa yang sama ada yang “allergic” dengan gerakan Islam yang ikhlas membawa seruan Islam seperti Ikhwanul Muslimin di Mesir dan gerakan-gerakan Islam di tempat yang lain? Ummah dilagakan, kepentingan al-Quds yang sepatutnya menjadi titik persefahaman ummah kini dilerai dengan normalisasi Israel yang rancak terjalin.

Firman Allah SWT :

(یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن تُطِیعُوا۟ فَرِیقࣰا مِّنَ ٱلَّذِینَ أُوتُوا۟ ٱلۡكِتَـٰبَ یَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِیمَـٰنِكُمۡ كَـٰفِرِینَ)

Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. – [Surah Ali Imran 100]

7. Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru kepada seluruh umat Islam untuk kembali bangkit berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah bagi terus memperkukuhkan muafakat penyatuan ummah di negara ini. Elakkan perpecahan dan kenali musuh yang sebenarnya. Perpecahan ummah hanya merugikan kerana ia hanya menguntungkan musuh yang terus menerus tidak senang duduk dengan penyatuan ummah ini.

8. Semoga tirai baru tahun 2021 ini menjadi titik kebangkitan umat Islam sama ada di Malaysia khususnya dan seluruh dunia umumnya.

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)