Home Berita PAS Kelantan

JKMPP bantu lancarkan fungsi PBT

32
SHARE

KOTA BHARU, 11 April: Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif menubuhkan Jawatankuasa Kawal Selia Merancang dan Menyelaras Aktiviti-Aktiviti Pemajuan Projek Pembangunan (JKMPPP) Negeri Kelantan pada 29 Jun 2019 yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad, bertujuan untuk melancarkan fungsi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi memastikan segala projek pembangunan mematuhi aspek pembangunan yang telah digariskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan Negeri Kelantan, YB Dr Izani Husin ketika dihubungi berkata, jawatankuasa tersebut juga dapat membantu PBT dalam mempercepatkan sesuatu kelulusan pembangunan yang melibatkan projek-projek keutamaan dan penting untuk disegerakan.

“Selain memastikan projek ini dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan acuan Kerajaan Negeri. Jawatankuasa ini juga mengenakan bayaran Wang Perkhidmatan Kemajuan atau Improvement Service Fund (ISF) kepada mana-mana pemaju apabila terdapat keperluan di tapak pembangunan untuk menjalankan kerja menaiktaraf infrastruktur akibat daripada pembangunan yang dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau lagi, melaluinya pihak PBT dapat menggunakan wang caruman tersebut untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh rakyat dari aspek penambahbaikan infrastruktur dan sebagainya.

Sebagai rekod, penyampaian bayaran ISF Fasa 1 bagi projek-projek yang diperakui JKMPP Negeri Kelantan telah disempurnakan pada 24 Mac lalu melibatkan pembayaran RM3,976,593.06 kepada semua PBT di Kelantan melibatkan 50 peratus (RM2,153,628.30) daripada baki ISF bagi tahun 2020 dan 80 peratus (RM1,822,964.76) bagi pemberian tahun 2021.