Home Berita PAS Kelantan

JKM, Khidmat Malaysia pastikan bekalan makanan dari dapur rakyat sentiasa mencukupi

246
SHARE

PAHANG, 28 Dis: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Khidmat Malaysia berganding bahu melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan dapur rakyat bagi memastikan keadaan serta bantuan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Hajjah Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, beberapa lokasi terlibat banjir besar antaranya di Temerloh, Mentakab dan Lanchang dipantau serius.

“Saya amat peka akan situasi mangsa-mangsa banjir yang telah pulang ke rumah bagi kerja-kerja pembersihan yang kekurangan tenaga kerja dan keperluan makanan. Oleh itu, saya telah meminta kerjasama JKM dan Khidmat Malaysia untuk mengatur gerak kerja sepantas yang boleh dengan menghantar tenaga kerja dan bekalan makanan ‘ready-to-eat’ ke lokasi yang terjejas teruk”, catatnya di laman sosial.

Terdahulu, dapur rakyat digerakkan bagi penyediaan makanan kepada para petugas serta mangsa-mangsa banjir di kawasan sekitar. Beliau berharap agar kesemua mangsa banjir, petugas,sukarelawan dan semua yang terlibat dengan misi banjir ini di beri kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi ujian daripada Allah SWT.