Home Berita PAS Pusat

Jangan merendahkan calon lawan

908
SHARE

MARANG: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak merendah-rendahkan calon lawan yang bertanding pada Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, walaupun ada dalam kalangan calon itu tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi tetapi mereka memberikan khidmat yang baik kepada masyarakat.

“Orang PAS jangan merendah-rendahkan calon (lawan), walaupun akademik tak tinggi tapi khidmat yang baik kepada masyarakat,” ujarnya kepada media di Pusat Penamaan Calon bagi Parlimen Marang dan Dun-Dun dalam kawasan Parlimen di Pejabat Daerah Marang di sini sebentar tadi.

Ketika ditanya adakah kekal mempertahankan kerusi Parlimen Marang, beliau berkata: “Insya Allah kekal di Marang.”

Menurutnya, ini melihat kepada majlis yang diadakan oleh PAS mendapat sambutan positif daripada masyarakat.

Beliau juga optimis PAS mempunyai peluang menawan Terengganu pada pilihan raya kali.

Ini, katanya kerana calon-calon PAS yang tewas kepada BN pada PRU13 lalu hanya dengan majoriti yang kecil.

Tambahan pula, ujar beliau para pengundi muda yang merupakan 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negeri ini memberi sambutan yang baik kepada PAS. – HARAKAHDAILY 28/4/2018

Foto: Media Presiden PAS