Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Jalur Gemilang 5 Bucu : Tindakan Biadab Kepada Negara

364
SHARE

 

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Jalur Gemilang 5 Bucu : Tindakan Biadab Kepada Negara

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengecam tindakan menayangkan imej Jalur Gemilang dengan bintang lima bucu oleh Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dalam majlis perasmian kejohanan sukan tersebut baru-baru ini.

Tindakan ini biadab dan merupakan penghinaan kepada negara. Ia seolah-olah sengaja mempersendakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat serta kedaulatan negara.

Insiden memperlakukan lambang-lambang kedaulatan negara sebegini sebelum ini telah beberapa kali berlaku contohnya memasang bendera dengan terbalik. Namun, apabila memohon maaf, kes tersebut dianggap selesai seperti ianya sekadar kesilapan biasa.

Jati diri sesebuah negara tidak hanya tertakluk kepada sesebuah lambang, namun tanggungjawab warganegara adalah untuk menjaga dan mempertahankannya. Ia dapat diukur menerusi perhatian dan tindakan terhadap simbol-simbol negara.

Terkini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid telah menetapkan bahawa siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PAS menggesa satu tindakan tegas dikenakan kepada pihak MABA selaku pengelola majlis yang bertujuan memberi pengajaran dan amaran kepada semua rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam isu kedaulatan negara.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Negara Sejahtera’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
27 November 2019 | 30 Rabiulawal 1441