Home Minda Presiden

Isu Palestin menyatukan umat

241
SHARE

Minda Presiden PAS
ISU PALESTIN MENYATUKAN UMAT


Tragedi hitam penubuhan negara haram bernama Israel di bumi Palestin yang berlaku pada tahun 1948 adalah bagi melaksanakan inti pati Perjanjian Balfour pada tahun 1917 oleh penjajah British. Seterusnya, ia diiktiraf pula oleh negara kuasa besar dan negara yang berada di bawah pengaruh mereka.

Peristiwa tersebut merupakan suatu kemalangan besar yang berlaku dalam sejarah kemanusiaan, khususnya bagi umat Islam yang diamanahkan bagi memelihara tanah suci itu. Bumi yang menjadi tempat kelahiran dan pemakaman ramai dalam kalangan para anbiya’ AS, malah di situ juga terletaknya Masjid al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam sebelum diperintahkan menghadap Kaabah.

Negara haram itu ditubuhkan secara rompakan yang nyata terang lagi bersuluh tanpa sedikit pun rasa malu dan sekali gus menanggalkan maruah kemanusiaan. Penjajah British tidak berhak ke atas bumi Palestin kerana ia bukannya tanah air milik mereka, kemudiannya bertindak menyerahkan kepada kalangan yang tidak berhak memilikinya.

Khususnya apabila diserahkan kepada kaum paling dimurkai Allah SWT yang menjadi pembunuh para anbiya’ dan ulama’ yang soleh. Penduduknya yang sah sejak turun-temurun dan zaman berzaman dihalau secara paksa dengan penuh kekejaman dan kezaliman.

Para penganut pelbagai agama dan penduduk di pelbagai negara yang bersifat perikemanusiaan terus-menerus mengutuk perkara yang berlaku itu hingga kini. Bahkan, apa yang dilakukan itu semakin nyata apabila kumpulan Zionis itu menunjukkan sifat melampaunya yang semakin parah.

Pada hari ini mereka bertindak zalim dengan membunuh, menghalau rakyat Palestin, merobohkan rumah kediaman dan tempat perniagaan, merampas kebun serta memusnahkannya. Sehinggakan, mereka membina sebuah tembok sebagai penjara besar bagi mengurung penduduk asal yang terus bertahan. Tindakan tersebut dilakukan tanpa mempedulikan Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan hak kemanusiaan sejagat.

Kini, protes terhadap kekejaman Zionis dilakukan di seluruh dunia termasuk juga di negara besar blok Barat yang kuat dan dipengaruhi oleh Zionis. Hal ini menunjukkan kesatuan manusia dalam menentang kezaliman yang sangat melampau itu, sehingga menyatukan semua pihak melangkaui perbezaan agama dan bangsa, namun satu sifat kemanusiaannya.

Ramai yang tidak mengetahui betapa fahaman Zionisme itu menanamkan suatu kefahaman fanatik kebangsaan Yahudi, sehingga ia menjadi aqidah mereka bahawa mereka adalah bangsa yang paling mulia di muka bumi dan manusia yang sebenar. Mereka tidak seperti manusia daripada bangsa lain yang tidak bertaraf manusia sebenar.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ١٣

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kalian daripada kalangan lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kalian berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kalian saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kalian di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya.” (Surah al-Hujurat: 13)

Zionis memutarbelitkan sejarah Palestin atas nama agama dan bangsa Yahudi. Sebenarnya hijrah Nabi Ibrahim AS ke Palestin merupakan pilihan Allah SWT bagi melahirkan para anbiya’ yang membawa satu agama-Nya sahaja iaitu Islam.

Nabi Musa AS diperintahkan berjihad untuk membebaskan Palestin daripada kaum Jabbarin yang zalim dan digantikan dengan mereka yang  berjuang menegakkan agama Allah SWT. Apabila bangsa Yahudi tidak menunaikannya, maka mereka dihukum sesat di padang pasir selama 40 tahun. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا أَبَدًا مَا دَامُوا فِيهَا فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ أَرْبَعِينَ سَنَةً يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ٢٦

“Mereka berkata: ‘Wahai Musa! Sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu untuk selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah kmau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sini itulah yang duduk menunggu.’ (24); Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: ‘Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu.’ (25); Allah berfirman: ‘Sesungguhnya negeri itu diharamkan ke atas mereka daripada memasukinya selama 40 tahun, mereka akan merayau-rayau dalam kebingungan di padang pasir (Sinai); maka janganlah kamu berdukacita terhadap kaum yang fasik itu.’ (26)” (Surah al-Ma’idah: 24-26)

Selepas itu, diikuti dengan kemasukan Nabi Yusya’ AS bersama generasi baharu. Semua itu adalah atas nama agama Allah SWT untuk menjadikanya bumi para anbiya’ AS  yang ditadbir dengan berpandukan Kitab Allah.

Selepas mereka berlaku zalim dengan meninggalkan Kitab Allah, maka sekali lagi mereka dihalau. Sehingga mereka dibebaskan oleh Raja Tolut dan Nabi Daud AS.

Selepas mereka berlaku zalim terhadap Nabi Sulaiman AS pula, sehingga dihalau lagi dan dijajah oleh Rom. Kemudiannya mereka diberikan kebebasan atas nama Islam pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA.

Hanya mereka yang menegakkan Islam, agama para anbiya’ yang layak mentadbir Palestin. Tanah suci itu adalah bagi umat Islam yang beriman kepada al-Quran, Kitab Allah yang terus dipelihara dengan teguh menunjukkan bahawa para anbiya’ menganut satu agama sahaja. Perkara ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

قُلْ آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ عَلَيْنَا وَمَا أُنْزِلَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطِ وَمَا أُوتِيَ مُوسَى وَعِيسَى وَالنَّبِيُّونَ مِنْ رَبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ٨٤ وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ٨٥

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi; Ibrahim, lsma‘il, Ishaq, Ya‘qub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi seperti Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam).’ (84); Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dirinya pada Hari Akhirat kelak tergolongan daripada kalangan orang-orang yang rugi. (85)” (Surah Ali ‘Imran: 84-85) 

Justeru, semua perjuangan yang terpesong daripada agama para anbiya’ itu, tidak berhak memiliki tanah suci Palestin. Maka, umat Islam wajib bersatu atas nama Islam, khususnya bagi penganut Islam daripada semua mazhab. Sama ada Mazhab Sunni, Syiah atau Khawarij dari segi politik, termasuklah Mazhab Syafi‘i, Maliki, Hanafi, Hanbali, Zahiri, Imamiyyah, Zaidiyyah dan Ibadi. Malah, mazhab aqidah Salaf dan Khalaf, begitu juga aliran tariqat tasawuf.

Seluruh mazhab secara ijma‘ (bersepakat) berpendirian bahawa umat Islam wajib mempertahankan Palestin dan berjuang bagi membebaskannya daripada penaklukan Zionis. Kesemuanya wajib menyahut seruan Allah SWT yang menyatakan dalam firman-Nya:

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ الَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا أَخْرِجْنَا مِنْ هَذِهِ الْقَرْيَةِ الظَّالِمِ أَهْلُهَا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ وَلِيًّا وَاجْعَلْ لَنَا مِنْ لَدُنْكَ نَصِيرًا٧٥

“Dan apakah yang menghalang kalian (maka kalian) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk membela) orang-orang yang tertindas baik daripada kalangan kaum lelaki, wanita mahupun kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan berikanlah bagi kami pelindung di sisi-Mu, dan berikanlah kepada kami penolong di sisi-Mu.” (Surah al-Nisa’: 75)

Walaupun sebab turun ayat ini adalah disebabkan oleh peristiwa yang berlaku di Makkah, tetapi al-Quran merupakan petunjuk kepada seluruh alam sepanjang zaman. Tujuan Islam ialah wajib menyelamatkan mereka yang dizalimi di mana sahaja berada dan pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, para ulama’ menegaskan hukum wajib mengorbankan harta dan jiwa raga bagi mempertahankan hak agama. Begitu juga, dalam membebaskan umat yang dizalimi mengikut kedudukan masing-masing.

Adalah suatu kesalahan besar menjadikan alasan perbezaan mazhab, bangsa dan sempadan negara bagi mengelakkan diri daripada menunaikan kewajipan yang besar itu. Malah, ia juga mendorong kepada berlakunya perpecahan umat.

Khususnya apabila ternyata alasan tersebut dicipta oleh musuh Islam daripada kalangan Zionis dan negara yang bersekongkol dengannya. Sehinggakan, ia mencetuskan perang saudara dengan senjata mereka dan membakar harta sendiri serta membunuh sesama saudara sendiri.

Masalah perbezaan kaum dan mazhab telah wujud sejak zaman awal Islam, namun ia menjadi perbincangan dalaman umat mengikut panduan al-Quran dan Sunnah yang sama. Sehingga perbincangan tersebut tidak memecah-belahkan umat dalam menghadapi musuh agama dan umat, sehingga mereka yang khianat tenggalam dalam lipatan sejarah.

Percayalah bahawa mereka yang mencetuskan perpecahan mengikut nasihat penjajah dan Zionis juga akan ditenggelamkan oleh kebangkitan umat yang tidak boleh dihalang bersama kebangkitan Palestin. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah SAW:

‌لَا ‌تَزَالُ ‌طَائِفَةٌ ‌مِنْ ‌أُمَّتِي ‌ظَاهِرِينَ ‌عَلَى ‌الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِكَ.

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan menegakkan kebenaran daripada Allah; mereka dimenangkan ke atas musuh mereka (tidak boleh dihapuskan oleh musuh mereka); dan mereka tidak boleh dimudaratkan oleh penentang mereka, melainkan mereka menghadapi kesusahan sehingga datang ketetapan Allah (Hari Kiamat); dan mereka tetap berada dalam keadaan yang demikian itu.”

قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟

Lalu, para sahabat bertanyakan Rasulullah SAW: “Di manakah mereka berada?”

قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

Rasulullah SAW bersabda: “Di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis (Palestin dan sekelilingnya).” (Riwayat Ahmad 22320 dan al-Tabrani 7643)

Sementelah, hubungan persaudaraan Islam itu tidak boleh dipisahkan oleh faktor perbezaan bangsa, mazhab dan sempadan negara. Hal ini disifatkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌مَثَلُ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌فِي ‌تَوَادِّهِمْ، ‌وَتَرَاحُمِهِمْ، ‌وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman (umat Islam) dalam hal saling menyayangi, bersimpati dalam kalangan mereka dan mengasihi laksana hubungan anggota dalam satu jasad, apabila salah satu anggota itu kesakitan, maka seluruh anggota jasad turut berjaga dan demam (merasai kesakitan).” (Riwayat Muslim 2586)

Telah dianjurkan satu ijtima‘ para ulama’ di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah yang mengumpulkan para ulama’ semua mazhab. Namun, banyak negara masih tidak mempedulikannya dan menerima nasihat negara besar dari blok Barat yang paling kuat mempertahankan negara haram Israel itu.

Apabila kumpulan nasionalis sekular Arab gagal memainkan peranan sehingga meminggirkan semangat Islam, kini muncul pula kumpulan Islam di Palestin dan negara jirannya memainkan peranan sebagaimana yang telah disebutkan oleh Rasulullah SAW.

Bahkan, terkini peranan itu digerakkan oleh simpati hubungan kemanusiaan sekalipun mereka berbeza agama. Kini, protes terhadap negara haram Israel berlaku dalam kalangan bangsa Yahudi sendiri, bahkan juga dalam negara kuasa besar Amerika dan Eropah khususnya oleh kerajaan mereka yang menyokong negara haram Israel.

Maka, negara Islam khususnya negara Arab yang melakukan normalisasi terhadap Israel telah menggandakan dosa mereka kerana telah menghalalkan kewujudan sebuah negara haram. Pada masa yang sama, mereka berdosa kerana meninggalkan kewajipan jihad dalam mempertahankan tanah air Islam serta membela saudara seagama dan satu umat yang dizalimi.

Rasulullah SAW telah bersabda kepada bangsa Arab pada zaman Baginda:

“Akan ada kumpulan yang datang dari arah timur bangkit mendukung Islam dan mereka mengajak kamu bersama, lalu kamu tidak mempedulikan mereka, akhirnya mereka berjaya dan kamu mahu bersama mereka, tibatiba mereka tidak mempedulikan kamu.” (Riwayat al-Tirmizi dan dinyatakan Himpunan Hadis Fitan dan Tanda-tanda Kiamat oleh Dr. Hammam Sa‘id hafizahullah)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 11 Jumada al-Akhirah 1443 / 14 Januari 2022