Home Berita PAS Melaka

Isu Air Melaka : Segera Lantik CEO SAMB

1874
SHARE

Oleh : Bakri Jamaluddin

MELAKA : Kesan persaraan dua tonggak utama membabitkan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Khalid Nasir dan Ketua Pegawai Operasi Ir Abdul Rahman Said antara faktor krisis air di Negeri Melaka masih gagal ditangani.

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek berkata, SAMB menghadapi krisis bekalan air kali ini dengan amat sukar akibat kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk membuat lantikan segera jawatan- jawatan terbabit dalam menjamin pengurusan bekalan air yang tersusun.

Tambah beliau, kelewatan tersebut telah menjejaskan operasi SAMB sehingga memberikan kesan buruk kepada keselesaan rakyat dan mahupun pengunjung dan pelancong ke Melaka.

“Sepatutnya mereka perlu prihatin pentingnya memastikan pengurusan SAMB yang mantap untuk menjaga kebajikan pengguna-pengguna air di Negeri Melaka.

“Bagi menangani isu berkenaan pegawai-pegawai yang berpengalaman diperlukan segera untuk mengatasi masalah bekalan air yang ktitikal pada masa ini,”katanya.

Dalam masa sama potensi sepenuhnya sumber air tidak dapat diterokai kerana kekangan terbabit sekali gus menjejaskan bekalan air di Melaka.

Beliau berkata, melihatkan kepada perkembangan mutakhir di negeri Melaka, adalah dikhuatiri berlaku kehabisan sumber air mentah menjelang akhir bulan Mac ini sekiranya tiada langkah penjimatan lanjut dilaksanakan.

Kamaruddin berkata, ianya berikutan paras empangan terus menurun, justeru rakyat Melaka tidak mahu sejarah empangan kering dua dekad lalu kembali berulang lagi.

Baginya, walaupun SAMB adalah syarikat milik Kerajaan Negeri, PAS mencadangkan supaya langkah pemantauan pelepasan empangan dan pengeluaran dari loji dipantau oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat.

Ianya untuk mengelak krisis bekalan air di Melaka ini berubah menjadi tragedi menakut dan membebankan rakyat.

Malah, sumber air mentah sedia ada perlu dioptimumkan bagi membolehkan jangka hayat yang maksimum selain dari itu, sumber alternatif perlu diterokai dengan lebih agresif.

Dalam masa sama pengguna utama perlu diberi peranan ke arah penjimatan dan mengusahakan kitaran semula yang pelbagaikan supaya tidak terlalu menekan sumber bekalan air mentah.

PAS menegaskan bahawa kepentingan rakyat hendaklah diutamakan dan Kerajaan Negeri yang bakal dibentuk agar tidak terbawa-bawa dengan kemelut politik yang berlaku pada masa ini.