Home Artikel PAS Pusat

Tahniah Atas Perlantikan Peguam Negara Baharu

977
SHARE

KENYATAAN MEDIA
LUJNAH UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (LUHAM) PAS PUSAT

”TAHNIAH ATAS PELANTIKAN PEGUAM NEGARA BAHARU”

1. Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Pusat, menyambut baik dan mengalu-alukan pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Idrus Harun sebagai YB Peguam Negara yang baharu.

2. Latarbelakang, kepakaran dalam pelbagai bidang, pengalaman, reputasi serta kredibiliti Tan Sri Idrus dalam bidang kehakiman dan penglibatannya dalam Jabatan Peguam Negara sehingga menjawat jawatan Peguamcara Negara (Solicitor General) adalah merupakan calon terbaik dan sangat bersesuaian untuk dilantik sebagai Peguam Negara, dan diharap dengan pelantikan ini akan dapat membantu Kerajaan baharu Persekutuan untuk membina semula negara berasaskan kedaulatan undang-undang (rule of law), ke arah Malaysia Sejahtera.

3. Dalam pada itu, LUHAM berharap YB Peguam Negara baharu dapat menyemak, menimbang dan memperbetulkan semula tindakan-tindakan serta keputusan-keputusan Peguam Negara terdahulu, yang banyak mengundang kontroversi serta menjejaskan imej pentadbiran keadilan dalam negara ini, antara lainnya:-

(a) Menyemak dan membetulkan semula pencabulan sistem federalisma lantaran tindakan Peguam Negara terdahulu yang mengemukakan Saman Sivil mewakili Kerajaan Persekutuan terhadap Kerajaan Kelantan kononnya untuk menuntut hak dan pengiktirafan tanah adat orang asli Temiar di Pos Simpor, Gua Musang. Saman Sivil yang difailkan pada 18.1.2019, iaitu di ambang Pilihanraya Kecil P.078 Cameron Highlands yang diadakan pada 26.1.2019, adalah satu tindakan bermotif politik dan merupakan pencabulan yang jelas terhadap kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan dan Kanun Tanah Negara 1965. Lebih menyerlahkan niat sebenar tindakan tersebut, Peguam Negara terdahulu telah melantik sekumpulan Peguam swasta menerusi fiat, untuk bertindak mewakili Kerajaan Persekutuan. Justeru LUHAM berharap YB Peguam Negara baharu dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk menarik balik Saman Sivil terhadap Kerajaan Kelantan tersebut;

(b) Menyemak dan mengaktifkan semula siasatan terhadap kematian Allayarham Adib selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner pada 27.9.2019 yang memutuskan bahawa kematian Almarhum Adib adalah disebabkan oleh tindakan jenayah oleh dua atau lebih orang yang tidak dikenali. LUHAM berharap agar penjenayah berkenaan dapat dikenalpasti dengan segera dan dihadapkan kemuka pengadilan. Selain itu, memandangkan Mahkamah Koroner juga membuat dapatan bahawa terdapatnya kecuaian di pihak PDRM Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dalam mengawal keadaan rusuhan yang turut menyumbang kepada kematian Adib, LUHAM juga berharap agar Peguam Negara dapat menasihati Kerajaan untuk mempertimbangkan sejumlah pampasan/gantirugi yang munasabah dan berpatutan kepada keluarga Almarhum Adib sebagai pembelaan atas pengorbanannya sebagai seorang anggota keselamatan. Pampasan sedemikian diharap dapat memberikan isyarat yang baik kepada semua kakitangan awam yang terkorban/tercedera semasa bertugas;

(c) Menamatkan perkhidmatan peguam swasta yang dilantik menerusi fiat untuk mengendalikan pendakwaan kes-kes jenayah khususnya kes-kes berprofail tinggi, kerana pelantikan tersebut bukan sahaja membazirkan wang pembayar cukai, bahkan secara berkesannya telah mengesampingkan peluang serta merendahkan moral pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara Malaysia yang jauh memiliki lebih kepakaran, pengalaman dan pendedahan dalam pendakwaan jenayah di negara ini, berbanding dengan Peguam fiat yang dilantik secara adhoc;

(d) Mengembalikan fungsi sebenar peranan pendakwaan di mana tugas hakiki pendakwaan adalah untuk mendapatkan sabitan jenayah berasaskan kebenaran dan keadilan, dan bukannya untuk memastikan sabitan pada semua keadaan (to secure conviction at all cost). Justeru ruang yang adil untuk membela diri hendaklah diberikan dengan sewajarnya kepada orang yang dituduh, selaras dengan prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Siri-siri pengendalian perbicaraan kes-kes berprofail tinggi yang dikendalikan dan diketuai oleh peguam lantikan secara fiat dalam tempoh 22 bulan ini, telah memperlihatkan satu motif sahaja, iaitu untuk mendapat sabitan pada semua keadaan tanpa mempedulikan keadilan kepada orang yang dituduh. Bantahan-bantahan remeh, bersifat terlalu teknikal, kurangnya keanjalan kepada pasukan pembelaan dan menafikan (atau menyusahkan) akses kepada maklumat/dokumen/barang kes berkaitan bagi persediaan pembelaan, adalah cerminan nyata tentang motif pendakwaan yang bertentangan dengan nilai keadilan sarwajagat.

4. LUHAM juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia kerana menghapuskan amalan lantikan politik (political appointee) bagi jawatan yang sangat strategik, melalui satu amalan sonsang yang cuba disuburkan oleh Pakatan Harapan.

Islam Memimpin Perpaduan

WAN ROHIMI BIN WAN DAUD
Pengerusi,
Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat.
7 Mac 2020 | 22 Rejab 1441