Home Berita PAS Kelantan

Islamis pro-Jahilis

767
SHARE

Mereka kumpulan Islamis yang bersandar hujah pada ‘maqasid syariah’ dan ‘siyasah syar’ieyah’ dalam mencanang gerakan ‘kebebasan’ untuk Malaysia Baru. Semua tindakan adalah ‘ijtihadiyah’. Harus, bukan terlarang.

Tetapi mereka lupa, pelaksana ‘maqasid syariah’ itu bukanlah mereka sendiri, sebaliknya pemimpin yang jahil agama. Ironi, mereka rupanya hanya sedang mengiyakan ijtihad-ijtihad pemimpin mereka yang jahil itu. Islamis menjustifikasikan ijtihad jahilis. Si jahil mengenderai. Si alim mengekori.

Alangkah mendungnya. Demi kuasa cepat dan angan-angan kaya ijtihad, satu persatu tiang-tiang terbina kukuh dirobohkan. Hujahnya, kita bina tiang baru. Mereka lupa, bumbung sudah mula bergegar, retak dan meniris. Tukang bina pula lulusan gred E.

Agama adalah seruan, arahan dan tegahan. Ia adalah ‘al dakwatu ilal khair’, ‘al amru bil makruf’ dan ‘al nahyu anil munkar’. Apabila politik Islam hanyalah seruan (dakwah) sifatnya, tanpa arahan dan tegahan, maka tunggulah masanya musuh berhari raya lebih awal. Agama kan dirungkai sebagaimana Idilfitri dirungkai hikmatnya oleh sambutan raya oleh para pemuja nafsu, bukan lagi oleh para hamba-NYA yang bertakwa dan bersyukur.

Ya, kebebasan. Bebaslah daripada kongkongan kezaliman manusia. Tetapi bersujud dan berabdilah pada Allah yang maha adil dan maha berkuasa.

‘Jagalah Allah, nescaya Allah menjaga-Mu. Jagalah Allah, nescaya engkau dapati-NYA di hadapanmu (membantumu)’. – Hadis

NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Parlimen Bachok

Sumber: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=2536745556351766&id=177786515581027