Home Minda Presiden

Islam Dan Isu Pencemaran Alam Sekitar

1286
SHARE

Minda Presiden PAS

ISLAM DAN ISU PENCEMARAN ALAM SEKITAR


Firman Allah:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41)] سورة الروم: 41[

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Surah Ar-Ruum: 41)

Kerosakan itu merangkumi segala lapangan yang berkaitan dengan cara kehidupan manusia dalam segala aspeknya sama ada akidah, syariat dan akhlak.  Antara yang terserlah kini adalah alam sekitar sehingga merosakkan kehidupan manusia dari segi kesihatan jasad dan keselamatan bumi tempat manusia berpijak dan bekerja, juga cuaca dan udara yang disedut untuk mereka bernafas dengan sihat dan kehidupan makhluk lain.

Walaupun seringkali hanya disebut bencana alam, sekadar hujah bagi melepaskan diri daripada tanggungjawab manusia sendiri yang ditugaskan oleh Allah menjadi makhluk yang memakmurkan bumi dan makhluk yang dicipta di dalamnya juga tetap ada kaitan dengan keperluan hidup manusia. Hakikatnya manusia itu ditugaskan sebagai khalifah disebabkan kejadian fitrahnya berjasad, bernyawa, berakal dan bermasyarakat madani.

Sepatutnya yang dipersoalkan ialah punca berlakunya pencemaran udara yang asalnya bersih dan kerosakan muka bumi yang menyebabkan berlakunya bencana alam sekitar. Siapa yang merosakkan dan mencemarkannya?

Setiap muslim yang bersolat mengaku bahawa Allah yang Maha Esa adalah Rabbul ‘Aalamin, yang bermaksud pencipta dan pengurus sekalian alam dengan sifat-sifat kepujian bagi Allah. Di antaranya Maha Bijaksana, Maha Adil, Maha Penyayang yang Melimpah RahmatNya, meletakkan semua makhluk pada tempatnya masing-masing bersama undang-undang yang tersendiri, mengikut sifat kejadian masing-masing yang sangat saksama.

Firman Allah:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ وَالْفُلْكِ الَّتِي تَجْرِي فِي الْبَحْرِ بِمَا يَنفَعُ النَّاسَ وَمَا أَنزَلَ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مِن مَّاءٍ فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا وَبَثَّ فِيهَا مِن كُلِّ دَابَّةٍ وَتَصْرِيفِ الرِّيَاحِ وَالسَّحَابِ الْمُسَخَّرِ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ (164) ]سورة البقرة: 164[

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta ia biakkan padanya dari pelbagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) adalah tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran”. (Surah Al-Baqarah: 164)

Demikianlah Allah menetapkan undang-undang tabii bagi alam ciptaan-Nya, bagi setiap makhluk dengan kesaksamaan mengikut sempadan fitrah masing-masing, di samping saling bergantungan di antara satu sama lain.

Allah berfirman:

أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ (14) هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ (15) ]سورة الملك: 14-15[

“Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Dia Maha Halus Urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya! (14); Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu; mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah) kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)”. (15) (Surah Al-Mulk: 14-15)

Adapun manusia yang berakal dan bernyawa ini diuji dengan peranan memakmurkan bumi. Dalam perkara yang tidak mungkin difikirkan dan dicapai kemampuan akalnya,  maka Allah menetapkan nas yang nyata, seperti sempadan halal dan haram mengikut manfaat dan mudaratnya. Perkara yang dihalalkan itu dilarang pula melampaui sempadan kejadiannya dalam semua perkara, termasuk dalam perkara ibadat, sehinggalah makan minum dan pakaian yang menjadi rukun kehidupan.

Allah berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ (31)] سورة الأعراف: 31[

“Wahai anak-anak Adam (manusia)! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”. (Surah Al-A’raaf: 31)

Termasuk juga dalam perbelanjaan, Allah berfirman:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا (67)] سورة الفرقان: 67[

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu) ialah apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”. (Surah Al-Furqan: 67)

Melampau itu bukan sahaja dilarang dalam peperangan menentang musuh yang diizinkan kerana menceroboh, bahkan merangkumi seluruh cara hidup dan mengurus kehidupan.

Ternyata manusia kini melampau dalam semua perkara. Bagi persenjataan untuk berperang, diciptanya senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang paling ganas, sehingga membunuh manusia tanpa dikecualikan, termasuk yang tiada kaitan dengan musuh, bahkan ujian terhadap senjata itu telah memusnahkan muka bumi yang menyebabkan bencana alam, ledakan gempa bumi dan cuaca yang tidak menentu, serta pasang surut lautan yang merosakkan alam sekitar. Lebih malang apabila sampai ke peringkat keracunan alam sekitar bukan sahaja keracunan makanan dan minuman.

Kini berlakunya kepesatan pembangunan yang tidak terkawal lagi sehingga memusnahkan bukit bukau yang menjadi paku dan pasak muka bumi serta menimbus kawasan tadahan tanpa perancangan yang betul. Termasuklah pembalakan, perlombongan yang rakus dan diluluskan pula dengan merasuah kalangan ahli politik.

Selain itu juga, perkembangan industri yang melampau, bukan sahaja tanpa peduli peluang pekerjaan, sehinggalah membuang pekerja, dan melambakkan pelaburan tanpa teratur, serta kepesatan pembangunan tanpa peduli alam sekitar yang merosakkan rakyat, haiwan dan tumbuhan, semata-mata mengejar keuntungan besar dalam jangka pendek, tanpa peduli akibat kerosakan yang membawa kerugian yang lebih besar, sama ada berlaku dengan segera atau jangka masa panjang beberapa generasi.

Islam menegaskan amal soleh yang diberikan pahala di lapangan yang luas, bukan sahaja pahala itu dalam hubungan beribadat kepada Allah, termasuk juga kebajikan terhadap sesama manusia, keluarga, jiran, manusia dan binatang, bahkan diberikan pahala kepada sesiapa yang menanam pokok yang diambil manfaat oleh manusia dan binatang.

Allah memberi amaran adanya makhluk perosak daripada kalangan manusia sendiri. Firman Allah:

وَمِنَ النَّاسِ مَن يُعْجِبُكَ قَوْلُهُ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيُشْهِدُ اللَّهَ عَلَىٰ مَا فِي قَلْبِهِ وَهُوَ أَلَدُّ الْخِصَامِ (204) وَإِذَا تَوَلَّىٰ سَعَىٰ فِي الْأَرْضِ لِيُفْسِدَ فِيهَا وَيُهْلِكَ الْحَرْثَ وَالنَّسْلَ وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْفَسَادَ (205) وَإِذَا قِيلَ لَهُ اتَّقِ اللَّهَ أَخَذَتْهُ الْعِزَّةُ بِالْإِثْمِ فَحَسْبُهُ جَهَنَّمُ وَلَبِئْسَ الْمِهَادُ (206)] سورة البقرة: 204-206[

“Dan di antara manusia ada orang yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa yang ada dalam hatinya, padahal ia adalah orang yang amat keras permusuhannya (kepadamu). (204);  Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan. (205); Dan apabila dikatakan kepadanya: “Bertakwalah engkau kepada Allah” timbullah kesombongannya dengan (meneruskan) dosa (yang dilakukannya itu). Oleh itu, padanlah ia (menerima balasan azab) Neraka Jahanam dan demi sesungguhnya, (neraka jahanam itu) adalah seburuk-buruk tempat tinggal”. (206) (Surah Al-Baqarah: 204-206)

Demikianlah Allah mendedahkan makhluk perosak dalam makna yang luas dan amaran yang sekeras-kerasnya. Bukan sahaja perkara akidah yang merosakkan hubungannya dengan Allah Pencipta Alam, termasuk juga merosakkan diri sendiri dan makhluk yang lain. Maka manusia yang diamanahkan mentadbir bumi ini hendaklah menjadi hamba Allah yang benar-benar menunaikan kerja memakmurkan bumi, bukan menjadi makhluk perosak dan penggalak kepada perosak, dan hendaklah tegas menguatkuasakan undang-undang mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 12 Zulhijjah 1440 / 13 Ogos 2019