Home Minda Presiden

Islam aqidah perjuangan

1093
SHARE

Minda Presiden PAS
ISLAM AQIDAH PERJUANGAN


Islam yang berakar daripada perkataan al-din berlainan maksudnya dengan perkataan agama yang terdapat dalam bahasa selain daripada bahasa al-Quran. Bahkan, perkataan ideologi juga tidak memenuhi makna Islam yang sempurna.

Islam ialah aqidah perjuangan bagi penganutnya yang setia. Hal ini sangat berbeza dengan perjuangan yang berprinsipkan ideologi, kerana perbezaan aqidah Islam yang bercirikan rabbani (ketuhanan Allah yang Maha Esa) dan ideologi pula bersifat wad‘i  insani (ciptaan akal manusia).

Perkataan aqidah yang bererti simpulan atau ikatan yang kukuh dan tidak boleh dirungkaikan. Perkara ini adalah berdalil kepada firman Allah SWT:

﴿لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦﴾

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) al-din (Islam); kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang ingkar terhadap taghut (pelampau sempadan Allah) dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang amat teguh dan tidak akan dapat diputuskan. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 256)

Kepercayaan hati yang ikhlas hanya kepada Allah SWT itu diperoleh tanpa sebarang paksaan. Hal ini demikian kerana, paksaan itu menjadikannya munafiq dengan bersikap pura-pura sedangkan hatinya tidak percaya. Justeru, Islamnya tidak sah.

Apabila seseorang itu menganut Islam dengan ikrar dua kalimah syahadah, maka wujud ikatan yang tidak boleh dirungkaikan lagi. Hal ini demikian kerana, perjanjiannya dengan Allah SWT yang menjadi aqidah tidak boleh dikhianati lagi sehingga akhir hayat. Malah, ia tidak boleh disamakan dengan menganut ideologi dan agama lain yang tidak beraqidah.

Aqidah ini menjadi suatu perjuangan yang dilakukan oleh para Rasul yang dilantik oleh Allah SWT kepada kaum dan bangsanya pada zaman masing-masing. Kerasulan ini berakhir dengan Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada seluruh manusia pada akhir zaman juga berprinsipkan aqidah tersebut. Firman Allah SWT:

﴿وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِي كُلِّ أُمَّةٖ رَّسُولًا أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّٰغُوتَۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ هَدَى ٱللَّهُ وَمِنۡهُم مَّنۡ حَقَّتۡ عَلَيۡهِ ٱلضَّلَٰلَةُۚ فَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَٱنظُرُواْ كَيۡفَ كَانَ عَٰقِبَةُ ٱلۡمُكَذِّبِينَ٣٦﴾

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (untuk menyerukan): ‘Hendaklah kalian menyembah Allah dan jauhilah taghut’. Maka, antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberikan hidayah Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kalian di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan (rasul-rasul mereka).” (Surah al-Nahl: 36)

Penyembahan diri kepada Allah SWT dengan maksud tiada pilihan yang lain lagi, apabila sudah ada ketetapan daripada Allah SWT yang dibawa oleh Rasul secara mutlak. Perkara ini dibuktikan dengan keimanan yang teguh dalam segala aspek mengikut kesempurnaan petunjuknya secara menyeluruh yang dinamakan Islam. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣﴾

“Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah? Padahal, kepada-Nya jua tunduk dan taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela (pilihan) ataupun terpaksa (fitrah), dan kepada-Nya jua mereka dikembalikan.” (Surah Ali ‘Imran: 83)

Terdapat perbezaan yang jelas antara Islam daripada perkataan al-din dengan perkataan agama dalam semua bahasa yang lain. Konsep agama yang bukan daripada makna al-din adalah tidak memenuhi maksud sebenar yang menjadi makna Islam yang menyeluruh tujuannya dalam semua aspek kejadian alam, termasuk makhluk manusia.

Oleh itu, Islam adalah berbeza dengan agama yang lain sama sekali dan sekali gus berbeza dengan ideologi. Demikian itu disebabkan sifat yang lain daripada makna al-din itu tidak sempurna dengan bersifat menyeluruh.

Adapun perkataan ideologi pula dihuraikan maksudnya yang terlalu banyak khilaf dalam kalangan ilmuwan Barat. Oleh yang demikian, semua perkara tersebut menunjukkan ia hanyalah semata-mata ciptaan akal manusia.

Ilmuwan Barat mentakrifkan bahawa ideologi itu merupakan suatu sistem kepercayaan yang menjadi asas kepada tingkah laku seseorang. Pada lazimnya, ia merujuk kepada satu set kepercayaan yang menggerakkan suatu pergerakan politik dan sosial.

Menurut Ensiklopedia Britannica, ideologi dimaksudkan sebagai salah satu item yang membentuk keperluan mental dan jasmani individu yang membentuk sesebuah masyarakat. Ia juga meliputi permasalahan politik, sosial, ekonomi dan perkara yang bersangkut paut dengan sejarah dan sosiogeografi manusia.

Kamus Dewan Edisi Ketiga pula mentafsirkan maksud ideologi sebagai suatu fahaman (ajaran) yang dipakai atau yang dicita-citakan untuk dasar pemerintahan dan lain-lain tujuan.

Pengertian ideologi adalah berbeza pada pandangan tokoh dan sarjana Barat. Berikut adalah sebahagian pengertian ideologi:

  1. Antoine Destutt de Tracy: Ideologi ialah pembelajaran terhadap idea-idea (pemikiran tertentu).
  2. Machiavelli: Ideologi ialah sistem perlindungan kekuasaan yang dimiliki oleh penguasa.
  3. Thomas Hobbes: Ideologi ialah suatu cara untuk melindungi kekuasaan pemerintah agar dapat bertahan dan mengatur rakyatnya.
  4. Karl Marx: Ideologi merupakan alat untuk mencapai kesamarataan dan kesejahteraan bersama dalam masyarakat.

Walaupun terdapat dalam kalangan ilmuwan Islam yang terpengaruh dengan Barat sehingga mahu menyamakan Islam dengan ideologi, namun keadaan tersebut menunjukkan bahawa ia tidak memenuhi ajaran Islam yang sempurna. Malah, ia sekadar untuk mencabut aspek politik, ekonomi dan sosial daripada ajaran Islam sahaja.

Pada masa yang sama, segala aspek tersebut diputuskan rangkaiannya dengan aspek lain. Walhal, ajaran Islam adalah tidak berpisah antara setiap aspek, laksana mata rantai yang tidak boleh diputuskan.

Begitu juga, terdapat kalangan yang mentafsir Islam berkonsepkan sekular dengan membuang aspek duniawi seperti politik, ekonomi dan urusan duniawi yang lain daripada agama yang menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.

Semua aspek tersebut dipisahkan pula daripada aspek iman yang menjadi ciri yang terpenting kepada asas aqidah. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

﴿ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat ma‘ruf serta melarang daripada melakukan perbuatan yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jua kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41)

Dalam ayat di atas, Allah SWT menegaskan terdapat hubungan ibadat (solat dan zakat) dengan konsep politik negara berkebajikan dalam urusan dunia yang luas maknanya. Begitu juga, mempunyai wawasan beriman kepada balasan pada Hari Akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kalian supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kalian menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kalian menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kalian. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah, taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kalian. Kemudian, jika kalian saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kalian mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kalian), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Konsep adil terhadap seluruh manusia yang bermasyarakat majmuk adalah berasaskan daripada perintah Allah SWT. Sekali gus mengatasi segala arahan sesama manusia, kepimpinan negara dan para ulama’ yang tidak berkuasa mutlak.

Bahkan, Allah (al-Quran) dan Rasulullah SAW (Sunnah) ialah hukum tertinggi. Kedua-duanya membatalkan seluruh undang-undang manusia yang bercanggah dengannya, berakhir pula dengan beriman kepada Hari Akhirat bersama balasannya.

Semuanya disimpulkan dengan ikatan iman yang dinamakan aqidah yang berbeza dengan makna ideologi dan objektifnya yang bercirikan aqidah.

Apabila dimeteraikan Sahifah Madinah yang melibatkan masyarakat majmuk termasuk kalangan bukan Islam, perkara tersebut telah dinyatakan dengan nas yang nyata:

‌وَإِنَّهُ ‌مَا ‌كَانَ ‌بَيْنَ ‌أَهْلِ ‌هَذِهِ ‌الصَّحِيفَةِ ‌مِنْ ‌حَدَثٍ ‌أَوْ ‌اشْتِجَارٍ يُخاف فَسَادُهُ، فَإِنَّ مردَّه إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

“Dan sesungguhnya apa-apa yang berlaku dalam kalangan ahli yang termasuk dalam Piagam (perjanjian) ini daripada apa-apa perkara yang menjadi pertikaian atau pertelingkahan yang ditakuti merosakkannya, maka hendaklah ia dikembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al-Quran) dan Muhammad SAW (Sunnah).” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jld. 1, ms. 504)

Justeru, wajib dilakukan islah dalam memahami dan mentafsirkan Perlembagaan Persekutuan yang telah meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Lebih-lebih lagi, apabila kita sudah merdeka, maka janganlah kita masih lagi memahami Islam mengikut tafsiran ideologi sekular oleh pihak penjajah dahulu.

Islam pula diletakkan dalam hak raja-raja yang tidak berani dibuang oleh penjajah. Sekalipun mereka salah mentafsirkan makna Islam itu, kemudiannya ia dikekalkan selepas negara ini diberikan kemerdekaan.

Pandangan telah diberikan oleh beberapa orang tokoh undang-undang yang beriman seperti Tan Sri Hashim Yeop Sani yang berpendapat bahawa Perkara 3 (1) dalam perlembagaan sangat jelas dan tidak boleh diputarbelitkan lagi bahawa agama negara ini ialah Islam. Maka, mana-mana tafsiran yang mewujudkan percanggahan (antara dokumen ciptaan manusia dalam perlembagaan dengan perintah Allah SWT dalam al-Quran dan al-Sunnah), maka tafsiran itu tidak boleh dipakai. Tafsiran ini disokong oleh Prof. Ahmad Ibrahim.

Manakala Tun Salleh Abbas, Tun Fairuz dan lain-lain pula berusaha melalui tindakan secara bijaksana bagi meletakkan Islam di tempat yang sebenar dalam Perlembagaan Persekutuan.

Suatu realiti yang perlu dikenal pasti oleh ramai orang adalah kita sedia maklum bahawa kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai perlembagaan yang tertinggi di Malaysia. Acuannya pula mempunyai unsur-unsur keislaman.

Memang tidak disebutkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber hukum tertinggi di Malaysia, tetapi agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan Malaysia juga sebenarnya sudah merangkumi hal yang demikian atau sekurang-kurangnya memperuntukkan usaha ke arah yang demikian.

Islam merupakan agama bagi Persekutuan, tetapi agama lain masih lagi boleh diamalkan di mana-mana bahagian Persekutuan sebagaimana yang dinyatakan dalam Perkara 3 (1). Mengapa kuasa agama Islam pula yang disekat dan cuba dihapuskan. Sabda Rasulullah SAW:

‌ثَلَاثٌ ‌مَنْ ‌كُنَّ ‌فِيهِ ‌وَجَدَ ‌بِهِنَّ ‌حَلَاوَةَ ‌الْإِيمَانِ: مَنْ كَانَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ بَعْدَ أَنْ أَنْقَذَهُ اللهُ مِنْهُ، كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ.

“Tiga perkara yang ada dalam diri seseorang, nescaya dia masih mengecapi kemanisan iman. (Iaitu) Allah dan Rasul paling dikasihi lebih daripada yang lain, kasihnya kepada seseorang ikhlas kerana Allah dan terlalu benci untuk kembali menjadi kufur (menyeleweng daripada Islam) setelah Allah menyelamatkannya daripada terus berada dalam kekufuran, sebagaimana ia benci jika dilempar ke dalam api.” (Riwayat al-Bukhari 16 dan Muslim 43)

Hadis di atas menepati firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, (dan tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dirinya telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Pihak bukan Islam tidak berhak campur dalam urusan Islam, sehingga melanggar sempadan hak yang telah ditetapkan kepada mereka. Namun, bagi para penganut Islam pula haram dan berdosa besar, bahkan merosakkan keislamannya apabila mereka terpengaruh dengan pihak bukan Islam.

Mutakhir ini terdapat kalangan yang bernama Islam pada bin dan bintinya, tetapi mereka bertindak merobekkan Islam secara terbuka. Sehinggakan, ia merendahkan kedudukan Islam yang sebenar apabila masih mempertahankan tafsiran sesat penjajah terhadap Islam. Tindakan tersebut adalah menghina Islam, penganutnya dan raja-raja yang diberikan kewajipan memeliharanya.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٖ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥٓ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلٗا مُّبِينٗا٣٦﴾

“Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, (dan tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri (yang lain) mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dirinya telah tersesat dengan kesesatan yang nyata.” (Surah al-Ahzab: 36)

Ayat di atas menegaskan hukum fardu ain yang wajib ke atas setiap Muslim dan Muslimah agar percaya kepada ketinggian hukum Islam yang mengatasi segala hukum yang lain. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾

“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk membenarkan Kitab-kitab suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka, jalankanlah hukum antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah kamu mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kalian, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kalian satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kalian (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kalian. Oleh itu, berlumba-lumbalah kalian dalam berbuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Hanya kepada Allah jua tempat kembali kalian semuanya, maka Dia akan memberitahu kalian apa yang kalian berselisihan padanya. (48);  Dan hendaklah kamu menjalankan hukum antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu menuruti kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu daripada sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian, jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian daripada dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq. (49); Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang mempunyai keyakinan. (50)” (Surah al-Ma’idah: 48-50)

Ayat di atas pula menegaskan bahawa semua yang bercanggah dengan hukum Allah adalah bersifat jahiliah, nafsu yang jahat, zalim dan merosakkan manusia. Firman Allah SWT:

﴿وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥﴾

“Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dirinya pada Hari Akhirat kelak termasuk daripada kalangan orang-orang yang rugi.” (Surah Ali ‘Imran: 85)

Firman Allah SWT di atas menjadi peringatan kepada sesiapa yang tidak mempertahankan Islam. Hal ini demikian kerana, pangkat dan harta tidak akan dapat menyelamatkan dirinya setelah meninggal dunia dan menghadapi Hari Kiamat nanti.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 26 Syawwal 1443 / 27 Mei 2022