KUALA LUMPUR, 12 Jan: Demi memantapkan gerak kerja agensi media rasmi Kerajaan Negeri, Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) menganjurkan retreat selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Januari di Hotel Premiera, Kuala Lumpur bagi menyusun semula, memugar dan memperkasa strategi gerak kerja organisasi melalui kaedah refleksi peribadi.
Pengarahnya, YB Ahmad Fathan Mahmood berkata, konsep cermin diri wajar dipraktikkan kerana kaedah ini mendidik warga UPKN bermuhasabah untuk gigih dan istiqamah mengamalkan sepuluh amanat tahun baharu 2022 titipan Menteri Besar YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dalam memberikan perkhidmatan terbaik atas nama pasukan sekali gus memantulkan prestij Kerajaan Kelantan.
“Strategi memperkasa gerak kerja secara berjemaah untuk memantulkan kesan sepuluh amanat positif yang dipesan oleh YAB Menteri Besar dengan mencipta peluang meraih pahala melalui gerak kerja berpasukan yang saling melengkapi berdasarkan prinsip Ubudiyah, Mas’uliyah, Itqan (UMI)”, katanya.
Beliau berharap semua warga UPKN beriltizam untuk kekal berstamina meneruskan kecemerlangan perkhidmatan berpaksikan sepuluh inti amanat cetusan Dato’ Ahmad iaitu Keseimbangan; Keutamaan; Kolabarasi; Kebersamaan; Sebaran Maklumat; Kepedulian; Atasi Kelemahan; Penilaian; Keterbukaan dan Integriti.