Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Integriti Mesti Dipraktikkan, Bukan Retorik Politik

938
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Integriti Mesti Dipraktikkan, Bukan Retorik Politik

Ungkapan Kleptokrasi yang riuh dicanangkan oleh Pakatan Harapan (PH) sehingga tular ke dunia antarabangsa rupanya tidak lebih menjadi retorik politik. Kelakuan tidak ubah bagai ayam jantan galak berkokok, ekor bergelumang najis sudah mula terbongkar. Berkuasa memerintah hanya 22 bulan, rupanya banyak skandal penyelewengan, salah guna kuasa dan tadbir urus yang mencurigakan.

Akauntabiliti, ketelusan, integriti serta kedaulatan undang-undang hanya sebutan pemanis mulut, sebaliknya mandat rakyat yang dimegah-megahkan itu seolah-olah dikhianati. Sudahlah sebahagian besar Manifesto PH dimungkiri, banyak peruntukan untuk rakyat terutamanya golongan yang perlu dibantu telah dimansuhkan atau dikurangkan.

Teriakan hutang negara yang kononnya mencecah RM1 trilion, ‘diselesaikan’ PH dengan meningkatkan lagi jumlahnya menerusi pertambahan hutang baharu melebihi RM100 bilion. Dalam masa yang sama, setakat Disember 2019, lebuh RM40 bilion aset negara dijual. Pelabur luar hilang keyakinan, hasil negara dijana PETRONAS pula semudahnya diambil hampir ratusan bilion.

Ia bukan semata-mata kelemahan tadbir urus, tetapi khianat terhadap negara.

PAS mengalu-alukan langkah agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan untuk menyiasat dan mendedahkan ketidakjujuran ini. Tindakan ini bukan satu bentuk balas dendam politik atau untuk memburuk apatah lagi menghukum mana-mana pihak, tetapi bertujuan untuk mengembalikan semula hak negara dan rakyat serta kedaulatan undang-undang.

Kecurigaan terhadap projek-projek mega di Pulau Pinang yang menjarah alam sekitar, penjualan aset-aset strategik negara kepada pihak tertentu termasuk melibatkan, rasuah pegawai menteri dan kecurangan penguasa kanan agensi kerajaan serta banyak lagi kes, benar-benar mengejutkan rakyat.

Oleh itu, pihak yang terbukti bersalah hatta dalam kalangan blok pemerintah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekalipun, wajib dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan sewajarnya. Pihak penguat kuasa diingat supaya tidak takut dan gentar untuk bertindak ke atas sesiapa sahaja yang menyalahi undang-undang. Jangan ada sama sekali kes ‘disapu bawah karpet’.

Prinsip ditegaskan oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan integriti dan bebas rasuah mesti didukung teguh semua pihak. Ia adalah satu tugas mulia untuk mengangkat Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan dihormati dunia.

Daya tahan telah diteladankan pemerintahan PAS selama 30 tahun di Kelantan wajar dijadikan panduan. Konsep Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan (UMI) harus diterap dan diperluaskan dalam mencapai tadbir urus cemerlang termasuk ke arah pentadbiran patuh syariah.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
11 Julai 2020 | 19 Zulkaedah 1441