Home Minda Presiden

Iktibar Daripada Sejarah Yang Sebenar

1694
SHARE

Minda Presiden PAS

IKTIBAR DARIPADA SEJARAH YANG SEBENAR


Andai sejarah mencatatkan bahawa Bani Israel telah tersesat selama 40 tahun. Adapun umat Islam kini sudah berapa lama mereka tersesat?

Berdasarkan sejarah yang telah dirakam dalam kitab suci al-Quran melalui firman Allah SWT yang paling benar, maka berfikirlah dengan matang dan bertindaklah dengan sejahtera!

Allah SWT menceritakan berkenaan Bani Israel (bangsa Yahudi) melalui firman-Nya:

﴿قَالُوا يَا مُوسَى إِنَّا لَنْ نَدْخُلَهَا أَبَدًا مَا دَامُوا فِيهَا  فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ٢٤ قَالَ رَبِّ إِنِّي لَا أَمْلِكُ إِلَّا نَفْسِي وَأَخِي  فَافْرُقْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ٢٥ قَالَ فَإِنَّهَا مُحَرَّمَةٌ عَلَيْهِمْ  أَرْبَعِينَ سَنَةً  يَتِيهُونَ فِي الْأَرْضِ  فَلَا تَأْسَ عَلَى الْقَوْمِ الْفَاسِقِينَ٢٦﴾

“Mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa, kami sesekali tidak akan memasukinya  (tidak mahu berjihad) selama-lamanya (ke Negeri Palestin), selagi mereka ada di dalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu, dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk menanti di sini saja.” (24); Berkata Musa: “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku (Harun). Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu.” (25); Allah berfirman: “(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu (Palestin) diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka akan berputar-putar kebingungan di bumi (sesat di padang pasir Sinai) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasiq itu. (26).” (Surah al-Ma’idah: 24-26)

Ayat di atas menjelaskan hukuman Allah SWT terhadap Bani Israel (bangsa Yahudi) yang berasal daripada keturunan Nabi Ya’kub AS. Ketika mereka diuji dengan kemenangan mudah supaya bersyukur, Allah membinasakan Firaun yang paling zalim dan bala tenteranya dengan mukjizat Nabi Musa AS.

Baginda AS memukul tongkat di Laut Merah yang membelah menjadi lorong-lorong di tengah laut laksana di celah gunung-ganang yang tinggi. Bani Israel selamat menyeberang lautan bersama Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Manakala Firaun bersama bala tenteranya yang terbesar pada zaman itu tenggelam ditelan lautan yang kembali semula bertaut.

Kemudian Allah SWT sekali lagi menguji mereka, supaya membebaskan tanah suci Palestin yang telah dirasmikan oleh Nabi Ibrahim AS daripada penaklukan kaum Jabbarin yang paling zalim. Mereka diberikan syarat supaya berjihad bagi menegakkan agama Allah SWT di bumi Palestin dengan kitab Taurat.

Malangnya bangsa Yahudi tidak yakin kepada kekuasaan Allah yang menjanjikan kemenangan dengan syarat keluar berjihad. Mereka tidak bersyukur kepada Allah SWT yang pernah menyelamatkan mereka secara mukjizat. Mereka menolak perintah Allah agar keluar berjihad dengan mengeluarkan bahasa yang sangat mengecewakan:

فَاذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ٢٤

“Pergi kamu berdua bersama Tuhan kamu, biarkan kami berada di sini sahaja menunggu.” (Surah al-Ma’idah: 24)

Hanya dua orang sahaja yang beriman sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿قَالَ رَجُلَانِ مِنَ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْعَمَ اللَّهُ عَلَيْهِمَا ادْخُلُوا عَلَيْهِمُ الْبَابَ فَإِذَا دَخَلْتُمُوهُ فَإِنَّكُمْ غَالِبُونَ  وَعَلَى اللَّهِ فَتَوَكَّلُوا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ٢٣﴾

“Berkatalah dua orang antara orang-orang yang takut (kepada Allah) yang Allah telah memberi ni’mat ke atas keduanya (hidayah): “Serbulah mereka dengan melalui pintu gerbang (kota) itu, maka bila kamu memasukinya nescaya kamu akan menang. Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman.” (Surah al-Ma’idah: 23)

Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS wafat sebelum sempat menyaksikan kemenangan Bani Israel, kemudian muncul generasi baru yang sedar dan insaf di bawah kepimpinan Nabi Yusya’ AS setelah pupus golongan yang bacul tidak mahu berjihad dan sibuk berkelahi merebut ghanimah (harta selepas mencapai kemenangan perang).

Kini kita berada pada zaman Palestin yang sama, ditakluk oleh Yahudi Zionis yang zalim setelah umat Islam Arab sendiri menjatuhkan Kerajaan Islam pada awal abad yang lalu. Mereka bersatu dalam kelompok kebangsaan Arab dengan bantuan penjajah Barat atas nama Revolusi Agung Nasionalisme Arab yang meminggirkan Islam. Sehingga menyesatkan mereka ke kanan dan ke kiri mengikut arus Perang Dingin.

Selama 100 tahun mereka berada dalam kelemahan dan kemerdekaan yang dijajah sehingga sanggup menjadi khadam dan mencetuskan perang saudara, laksana lembu susu menggemukkan diri untuk pengembalanya. Kini mereka sesat di padang pasir selepas mencapai kemerdekaan yang tersesat kerana meminggirkan Islam dan tenggelam dalam ghanimah semata-mata.

Orang Arab telah meninggalkan jihad yang dituntut oleh Allah, dengan mengamalkan jenama baru jihad normalisasi yang melutut dan menyembah Zionis Israel serta sekutunya. Mereka bukan melawan Israel yang sepatutnya menjadi musuh Islam paling utama, tetapi sedia berperang sesama bangsa dan umat Islam atas nama bangsa dan mazhab dengan bantuan penjajah.

Umat Islam itu seolah-olah jahil tentang ayat al-Quran yang menegaskan bahawa semua kuasa kerajaan di dunia mempunyai ajal masing-masing. Firman Allah SWT:

﴿قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ  بِيَدِكَ الْخَيْرُ  إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ٢٦﴾ 

“Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah Ali ‘Imran: 26)

Musuh utama umat Islam dahulu bukan Yahudi Zionis tetapi Turki Uthmaniyyah yang beraliran Ahlus Sunnah. Begitu juga hari ini, mereka memusuhi Iran, sebuah negara Republik Islam yang bermazhab Syiah. Keadaan ini menunjukkan betapa sesatnya umat Islam. Sesat bukan sahaja di padang pasir, bahkan sesat dalam gelombang lautan politik antarabangsa.

Lihatlah nasib umat Islam di Malaysia sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511, sehingga Perjanjian British-Belanda pada tahun 1824 dan Perjanjian Pangkor 1874.

Generasi pada masa itu berjihad dengan tidak menyerah kalah dalam mempertahankan Islam sehingga jati diri penganut Islam di seluruh Nusantara terpelihara walaupun sejahil-jahilnya. Akhirnya penjajah asing terpaksa berundur, tetapi kesan serangan pemikiran masih bertapak dalam diri sebahagian besar penganut Islam. Ini menunjukkan bahawa perjuangan mempertahankan Islam masih belum selesai.

Hari ini pula ramai umat Islam yang hilang jati diri Islam, mereka hanya leka mencari makan dan minum untuk mengisi perut serta tempat tinggal yang selesa. Mereka lebih banyak berkelahi dan berebut ghanimah serta jawatan tanpa berjihad sehingga mengamalkan ‘politiking’ sesama sendiri (berpolitik atas kepentingan diri sendiri). Mereka melupakan kewajipan yang paling penting iaitu menegakkan kedaulatan Islam dan umatnya melalui konsep demokrasi pilihan raya yang aman di tanah air sendiri.

Bahkan ramai yang beranggapan berpolitik sudah tidak penting lagi, lalu membiarkan sahaja urusan pemerintahan dengan tidak mengundi dan tidak mendaftar sebagai pengundi. Mereka membawa diri masing-masing dengan kerjaya semata-mata untuk makan dan tidur.

Ada juga yang termakan dengan fahaman penjajah yang mengajar semua politik itu kotor, supaya urusan politik diserahkan kepada penjajah. Kini umat Islam dipaksa menyerah kalah sehingga kehilangan kuasa, lalu kekuasaan itu dirampas oleh penjajah dan pihak asing.

Maka tunggulah akibatnya sesat di dunia yang melebihi Bani Israel selama 40 tahun dan Arab selama 100 tahun. Sekiranya tidak bertaubat dengan kembali kepada Allah SWT, nantikan akibat yang akan diterima pada hari akhirat.

Ingatlah al-Quran telah menegaskan bahawa Allah SWT menciptakan manusia berbeza daripada makhluk yang lain. Tujuan hidup manusia adalah:

  1. Beribadat
  2. Berkhilafah (mentadbir urusan dunia).
  3. Menunaikan amanah dengan menegakkan petunjuk Allah SWT yang adil kepada semua manusia dan alam semesta.

Hidup manusia bukanlah untuk makan dan diperhambakan kepada makhluk selain menjadi hamba kepada Allah SWT. Sesungguhnya manusia itu makan untuk hidup dan berhikmah, bukan seperti makhluk yang hidup semata-mata untuk makan dan dimakan.

Allah SWT telah menetapkan road map (peta perjalanan) manusia di alam dunia melalui firman-Nya:

﴿وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ٥٦ مَا أُرِيدُ مِنْهُمْ مِنْ رِزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَنْ يُطْعِمُونِ٥٧ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ٥٨﴾ 

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku. (56); Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi-Ku makan. (57); Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh. (58).” (Surah al-Dzariyat: 56-58)

Firman Allah:

﴿وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً  قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ  قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ٣٠﴾

“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan manusia supaya menjadi  khalifah di muka bumi (memerintah dan mentadbir).” Mereka (para malaikat) berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.” (Surah al-Baqarah: 30)

Firman Allah:

﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ  إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ  إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا٥٨﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia (semuanya dalam masyarakat majmuk) supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Nisa’: 58)

Ketiga-tiga peranan ini diberikan kepada manusia kerana mereka mempunyai jasad, akal dan roh, serta hidup bermasyarakat madani, berbeza daripada makhluk yang lain.

Seterusnya Allah SWT memberikan amaran kepada manusia yang salah tujuan hidupnya dengan berfirman:

﴿وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ  لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا  أُولَئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ  أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ١٧٩﴾

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi Neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati nurani (akal), tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raf: 179)

Khalifah Umar bin al-Khattab RA menegaskan kepada sahabatnya iaitu Abu Musa al-Asy’ari RA:

الرُّجوعُ إِلَى الْحَقِّ خَيْرٌ مِن التَّمَادِي فِي الْبَاطِلِ.

“Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan berada dalam kebatilan.” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Talkhis al-Habir, jld. 4, ms.1574)

Kembalilah kepada kebenaran dengan beristiqamah bersama Islam yang berdaulat, kerana kemuliaan manusia dan bangsa hanyalah bersama Islam.

Berwaspadalah mereka yang mahu kemenangan segera tanpa beristiqamah bersama Islam sehingga bergantung dengan apa-apa sahaja, termasuk di dahan yang rapuh sehingga jatuh binasa.

Bahtera yang sesat tujuan daripada Islam yang mengamalkan matlamat menghalalkan cara dan memberikan wala’ (kesetiaan) kepada musuh Islam, laksana menebuk kapal bagi mendapatkan air paling cepat yang kelak akan mati tenggelam atau laksana katak yang tersalah melompat ke dalam api.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Safar 1442 / 1 Oktober 2020