POKOK SENA – ADUN Bukit Pinang, Wan Romani Wan Salim telah menyantuni keperitan hidup seorang ibu tunggal yang juga menjaga anaknya orang kelainan upaya (OKU) di Padang Hassan, di sini.
Selasiah Mat Isa, 43 hidupnya semakin teruji sejak suami yang menjadi tulang belakang keluarga meninggal dunia dua tahun lalu dan dia pula menjaga anak OKU-nya, Muhammad Khairul Naim Ismail, 15.
“Saya melihat sendiri kegigihan luar biasa ibu hebat ini menjaga anak istimewa itu dan kesabarannya melayan karenah anak yang lain terutama anaknya yang paling kecil yang baru berusia tiga tahun itu.
“Saya juga telah dimaklumkan bahawa keluarga ini telah mendapat bantuan dari Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara bulanan,” katanya pada lawatan hari ini.
Tambahnya lagi, sumbangan tersebut pasti tidak mencukupi kerana dengan duit sumbangan tersebut digunakan untuk keperluan anaknya yang OKU ini serta keperluan keluarga seperti sewa rumah dan makan minum.
Kerana menjaga anaknya, ibu kental ini tidak berkerja dan tanggungjawab mencari nafkah keluarga dipikul anak sulungnya yang terpaksa berhenti sekolah, namun, mutakhir ini tidak lagi berkerja dan pendapatan mereka terjejas.
Para dermawan bolehlah salurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0213041100007926 atas nama Selasiah Mat Isa dan boleh hubungi beliau di talian 0179675712.
Ziarah Wan Romani yang juga Exco Kerajaan Negeri itu telah turut dihadiri oleh Imam Masjid Padang Hasan, Ustaz Sofi Abd Kadir.
Beliau sempat meluangkan masa menziarahi seorang warga emas, Tok Che Nah Ismail, 96 dan membuat lawatan tapak pembangunan Masjid Padang Hassan yang tergendala kerana kekurangan dana.
Di awal pertemuan Wan Romani sempat menyerahkan barang bantuan kapada wakil penduduk untuk diedarkan kepada penduduk yang terkesan, di sini