Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Hina Jata Negara : Suatu Tindakan Biadab

2980
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Hina Jata Negara : Suatu Tindakan Biadab

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak segera mengantung penjualan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ oleh Kean Wong yang jelas menghina negara.

Secara khusus Jata Negara telah diubah dengan cara yang memperolok dan memperlekeh hingga menampakkannya secara jahat, keji dan hina serta direndahkan martabatnya. Perbuatan demikian terhadap lambang rasmi negara adalah satu kesalahan yang sangat serius.

Bahkan penerbitan buku ini dilihat berunsur provokatif, mempertikai, menyanggah dan cubaan menghasut serta menimbulkan ketidaktenteraman awam. Ia juga dilihat mengandungi unsur-unsur melampau yang mesti dicegah pihak berkuasa.

Pemeliharaan Jata Negara dari sebarang salah guna termaktub dalam Akta 414 Seksyen 3(1)(a) yang memperuntukkan larangan mengguna apa-apa nama atau lambang atau apa-apa tiruan serupa mengenainya bagi maksud perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profession.

Seharusnya, seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghormati dan memelihara penghormatan dan kedaulatan negara, apatah lagi tarikh sambutan kemerdekaan yang semakin hampir, disamping tahun 2020 ini adalah Jubli Emas Rukun Negara pada 31 Ogos nanti.

PAS mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat individu-individu utama dalam penghasilan buku ini dan mengambil tindakan selaras undang-undang kerana jelas motif lukisan pada muka depan buku menghina lambang kedaulatan negara.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
29 Jun 2020 | 7 Zulkaedah 1441