Home Berita PAS Johor

Hijrah Ke Arah Kemerdekaan Yang Sebenar

794
SHARE

Hijrah Ke Arah Kemerdekaan Yang Sebenar

KENYATAAN MEDIA PAS KAWASAN TEBRAU

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A. W serta kepada Ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda yang mulia. Alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana pada hari ini kita masih diberi peluang untuk bertemu dengan bulan kemerdekaan dan bulan Muharram yang merupakan bulan pertama dalam taqwim Hijri.

Ketika turunnya ayat :

“..اليوم اكملت لكم دينكم واتممت عليكم نعمتي ورضى لكم الإسلام دينا..”

Bermaksud : “Pada hari ini telah aku sempurnakan agama kamu, dan aku telah sempurnakan ke atas kamu segala nikmatku dan aku telah redha kepada kamu Islam sebagai Agama..”

Seluruh Ummah bergembira atas kesempurnaan itu, lantas menjadi kewajipan kepada kita untuk melaksanakan kesempurnaan itu tanpa ada keraguan. Merdekanya ummah adalah dengan terlepasnya dari fahaman-fahaman thoghut dengan meletakkan Islam sebagai aqidah dan panduan kehidupan.

Muharram juga adalah antara bulan yang dimuliakan Allah dan ia termasuk dari bulan-bulan haram sepertimana yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الزمانُ قد استدارَ كهيئتِه يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ ، السنةُ اثنا عشر شهرًا ، منها أربعةٌ حُرُمٌ ، ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القَعدةِ وذو الحِجَّةِ والمُحرَّمُ ، ورجبُ مُضر ، الذي بين جُمادى وشعبانَ

Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.
[Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 4054].

Berbicara tentang Muharram dan tahun hijrah maka tidak terlepas untuk kita sebagai umat Nabi S. A. W mengenang kembali detik hijratur Rasul dari Makkah ke Madinah. Tentunya terdapat dalamnya seribu satu mesej yang telah disampaikan. Oleh itu sewajarnya untuk kita mengenang dan menginsafi perkara yang dinyatakan dibawah;

1. Sememangnya banyak sekali ibrah pengajaran yang boleh dikutip daripada peristiwa hijrah Nabi SAW bersama para sahabat Baginda dari Mekah ke Madinah.

2. Pun begitu, perkara terpenting yang perlu difahami daripadanya ialah tujuan hijrah itu sendiri sehingga ia diperintahkan oleh Allah SWT; bukannya semata-mata strategi yang dipilih oleh Baginda. Ia bertujuan membina sebuah pemerintahan atas asas Islam yang memberi keadilan dan kebajikan pada manusia sejagat dan membina kekuasaan Islam yang akan melindungi dakwah Islam.

3. Rasulullah S. A. W. yang memimpin pemerintahan yang dibentuk menerusi misi hijrah ini melaksanakan Islam dalam semua aspek pemerintahan Baginda sama ada dalam bidang ekonomi, sosial atau perundangan sebagai menterjemahkan syariat Allah SWT dalam kehidupan manusia supaya sifat ‘rahmatan lil ‘alamin'(rahmat sejagat) yang ada pada Islam itu dapat dirasai oleh manusia.

4. Justeru, tidak hairanlah sehinggakan masyarakat pelbagai kaum dan agama di Madinah pada masa itu boleh hidup bersatu-padu serta makmur ekonomi dan kemasyarakatannya di bawah dasar pemerintahan dan kepimpinan orang Islam.

5. Hari ini, sifat “rahmatan lil ‘alamin” Islam ini kononnya mahu direalisasikan tetapi tanpa pelaksanaan syariat. Inilah yang dikatakan sebagai “Islam tanpa Syariat”. Ia bercanggah sekali dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi SAW menerusi peristiwa hijrah.

6. Maka, tidak hairan jugalah, Islam dicemuh sesuka hati sama ada secara langsung atau tidak langsung oleh orang dan pihak tertentu. Malah dengan iman yang lemah mencari alasan dan dalih menjustifikasikan tindakan yang bercanggah dengan Islam.

7. Sempena sambutan Hijratul Rasul 1441 H ini, marilah kita semua bersama mengusahakan pelaksanaan Islam di negara ini secara lengkap dengan rujukan yang benar iaitu al-Quran dan al-Hadis bukannya dengan pemikiran manusia semata-mata yang dipakaikan jenama Islam, kerana ia akan merosakkan nilai kehidupan dunia dan akhirat. Wallahu a’lam.

Sebagai satu seruan untuk semua,kita Hijrahkan diri kita dengan menghayati kemerdekaan yg sebenar, menjadikan Islam sebagai pegangan kehidupan yang pastinya akan memartabatkan sebuah negara walaupun dalam keadaan berbilang bangsa.

سيروا على بركات الله

الله أكبر
لله أكبر
الله أكبر

Merdeka! Merdeka! Merdeka

Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-62 dan Tahun Baru Hijrah 1441H.

Sekian.

“ISLAM MEMIMPIN PERPADUAN”

LAJNAH DAKWAH PAS KAWASAN TEBRAU