Home Berita PAS Melaka

Hayati prinsip ‘semua kita adalah ejen penerangan’ – TPJ PAS Melaka

113
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 20 Jun : Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman berharap agar semua ahli PAS harus benar-benar menghayati konsep ‘semua ahli PAS adalah ejen penerangan’.

Menurut beliau prinsip itu yang ditegaskan di dalam Konvensyen Penerangan dan Media Baharu yang berlangsung secara maya baru-baru ini perlu perlu diterapkan dengan bersungguh-sungguh dan sistematik.

“Kita jangan ingat kerja penerangan ini tugas Ketua Penerangan sahaja. Tidak. Semua orang (ahli PAS) harus bertanggungjawab menjadi agen penerangan tidak kira apa jawatan kita atau sekali pun kita ahli biasa.

“Lebih-lebih lagi di zaman media sosial ini. Lebih mudah kita buat kerja. Dalam beberapa saat sahaja kita ‘share’ sesuatu, kita dah dapat sampai kepada mungkin ratusan rakan-rakan kita,” ujar beliau yang juga salah seorang daripada peserta konvensyen itu.

Ustaz Imran yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah itu menegaskan bahawa semua ahli PAS perlu menguasai media baharu untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Sekarang ini bukan zaman edar risalah kertas. Bukan lagi zaman tampal poster ceramah. Bukan.

“Kalau kita tak kuasai media sosial kita akan tertinggal. Kena tahu guna Facebook, Whatsapps. Kena ada smartphone. Paling kurang. Itu basic untuk semua petugas parti di zaman sekarang ini,” ujar beliau kepada Wartawan Rakyat Melaka (WARM).

Sementara itu, seorang lagi peserta konvensyen ini yang merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Haniff Abd Rahim berkata program konvensyen ini yang diadakan secara maya ini adalah sesuatu yang sangat baik memandangkan situasi negara di dalam suasana pandemik Covid-19.

“Dalam situasi pandemik Covid-19, program berjalan dengan baik, walaupun (secara) dalam talian dengan menghimpunkan jentera penerangan negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

“Bagi saya program ni memberikan kesan dan kesedaran kepada ahli agar berperanan dalam menyebarkan maklumat parti dan menjadi ejen penerangan,” kata beliau ketika dihubungi Wartawan Rakyat Melaka (WARM) pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan salah seorang ketua unit di Jabatan Penerangan PAS Melaka berharap agar program penerangan di peringkat PAS Negeri Melaka akan dapat diperkasakan lagi dan terus mempergiatkan kempen kesedaran bahawa media sosial ini mesti dikuasai oleh semua petugas parti.

Program Konvensyen Penerangan dan Media Sosial ini berlangsung secara maya pada 18 dan 19 Jun disertai oleh jentera Penerangan PAS seluruh Malaysia dan turut disertai oleh pimpinan utama PAS negeri-negeri.

Ucapan penutup bagi program ini telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man manakala beberapa orang pimpinan PAS Pusat turut menyampaikan amanat pada program tersebut antaranya Naib Presiden PAS, YB Senator Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.