Home Berita PAS Perlis

Konvensyen Perjelas hala tuju Penerangan Negeri

70
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 20 Jun: Konvensyen Lajnah Penerangan dan Media Baharu 2021 secara maya selama dua hari yang berakhir semalam disifatkan berjaya memperjelas halatuju Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) di peringkat negeri-negeri dan kawasan-kawasan.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun berkata, pembentangan berkenaan struktur kerja LPMB secara jelas membolehkan jentera penerangan khasnya di peringkat Kawasan-kawasan dan Dewan-dewan memahami secara lebih tepat berkenaan peranan yang perlu mereka laksanakan.

“Penganjuran konvensyen ini dilihat tepat pada masanya kerana selain memperjelas hala tuju LPMB di peringkat negeri, kawasan dan dewan-dewan, ia membuka mata kepada seluruh peserta bahawa tugas penerangan pada hari ini bukan lagi sekadar menyebarkan maklumat kepada masyarakat secara konvensional.

“Tetapi lebih dari itu, menjadi penerbit dan pengurus media yang kreatif untuk membantu memperjelas agenda-agenda kerajaan dan parti secara lebih sistematik dan proaktif,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Tambah beliau, konvensyen yang diadakan turut menyuntik semangat kepada para petugas penerangan khasnya dalam membuat persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Ketidaktentuan politik yang berlaku pada hari ini menyedarkan kepada kita bahawa jentera penerangan tidak lagi boleh berpeluk tubuh membiarkan sahaja musuh-musuh politik bekerja siang dan malam demi menjayakan agenda mereka.

“Insya Allah LPMB PAS Negeri Perlis akan terus memperkemas organisasi serta memperkasakan gerak kerja penerangan selaras dengan resolusi yang telah dipersetujui, sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi PRU-15 nanti, jelasnya.