Home Berita PAS Johor

Perkemas gerak kerja pasukan

245
SHARE

Oleh : ABU HADIF

JOHOR BAHRU, 20 Jun : Konvensyen Penerangan Media Baharu 2021 anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat yang melabuhkan tirainya petang semalam setelah berlangsung selama dua hari secara dalam talian dilihat dapat menyuntik semangat baharu untuk jentera penerangan negeri memperkemas pasukan.

Ketua Penerangan PAS Negeri Johor, Rusman Kemin berkata, perkongsian dalam pembentangan yang disampaikan oleh para perwakilan negeri dari Terengganu, Kelantan dan Kedah sangat baik dan sungguh bermanfaat.

“Melihat kepada penyampaian, yang berkongsi pengalaman menguruskan kemenangan, menghadapi cabaran dalam menyelesaikan isu-isu negeri dan perubahan yang dilaksanakan dalam pentadbiran, telah meyakinkan kita untuk sentiasa memperkemas gerak kerja jentera.

“Menerusi pembentangan dari Kedah misalnya, amat membanggakan apabila banyak perubahan yang dapat dilaksanakan dalam pengurusan pentadbiran walaupun baru sahaja PAS perintah, yang mana manfaat dan kesannya turut dirasai oleh rakyat.

“Ucapan yang menarik juga dalam ucapan perasmian oleh YAB Menteri Besar Kedah, supaya tidak mengambil berita dari musuh kemudian meminta penjelasan pimpinan. Perlu fokus kepada kerja dakwah dan menerangkan tindakan kita dalam memberi kebajikan kepada rakyat.

“Mesej yang jelas dan mudah difahami juga dalam pembentangan dari wakil Penerangan PAS Pusat, supaya jentera negeri melaksanakan perancangan gerak kerja yang serius dan strategi yang tersusun,” kata Rusman ketika dihubungi Wartawan Rakyat Johor.

Beliau berharap kehangatan konvensyen ini dapat dijelmakan dalam pengurusan jentera penerangan demi mempersiapkan pasukan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Beliau yang turut mengikuti konvensyen ini sejak awal juga berterima kasih dan mengucapkan tahniah atas penyertaan semua jentera Penerangan PAS Negeri Johor yang dapat bersama sehingga akhir program.

Seramai 92 orang wakil dari Jabatan Penerangan Johor turut sama mengambil bahagian di antara 1,061 peserta yang menyertai program Konvensyen Penerangan Media Baharu PAS Pusat 2021 pada kali ini.

Program konvensyen ini juga telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, YB Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut menyampaikan ucapan penutup pada jam lima petang semalam.