Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Undang-undang MARA dikuatkuasakan

237
SHARE

1 MAC 1966 (SELASA)

PADA hari ini dalam tahun 1966, Undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah dikuatkuasakan bagi menggantikan Undang-undang Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan.

Undang-undang MARA yang telah diluluskan oleh Parlimen pada bulan Jun 1965, mengandungi resolusi-resolusi yang dikemukakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera.

Antara lain tugas-tugas MARA ialah seperti yang tercatat dalam Seksyen 6 undang-undang tersebut iaitu:-

Memajukan, menggalakkan dan menjalankan pembangunan ekonomi dan sosial dalam Persekutuan khususnya kawasan-kawasan luar bandar.

• Menjalankan segala usaha khususnya pembangunan perdagangan dan perusahaan serta pemasaran barang-barang keluaran.

• Menjalankan penyelidikan dan latihan.

• Memajukan usaha-usaha di atas dengan bantuan modal, memberi pinjaman dan lain-lain.

Untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut MARA telah diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar serta mempunyai sebuah majlis yang terdiri daripada 14 orang ahli dan seorang Pengerusi. Pengerusi majlis ini juga adalah Pengerusi MARA.

Di samping itu sebuah Jawatankuasa Kerja telah dibentuk untuk menjaga hal-hal dasar. Sesungguhnya penguatkuasaan undang-undang MARA ini merupakan era penting bagi kemajuan ekonomi Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia

Kredit foto : Google

Bangunan lama MARA
Bas MARA
Bangunan MARA sekarang