Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Perjanjian Temenggong Abdul Rahman-Stamford Raffles mengenai Singapura

341
SHARE

30 JANUARI 1819 (SABTU)

PADA hari ini dalam tahun 1819, satu perjanjian ditandatangani di antara Dato’ Temenggong Sri Maharaja Abdul Rahman, pemerintah Singapura bagi pihak dirinya dan bagi pihak Sri Sultan Husin Mohamad Shah, Raja bagi negeri Johor dan Sir Thomas Stamford Raffles, Lt. Gabenor Bangkahulu (Bencoolen) dan jajahan takluknya bagi pihak Gabenor Jeneral Benggala.

Di antara isi-isi perjanjian ialah:-

Artikel I: Syarikat Hindia Timur Inggeris boleh mendirikan kilang di Singapura atau tempat-tempat lain dalam wilayah Kerajaan Johor – Singapura.

Artikel II: Sehubungan dengan itu Syarikat Hindia Timur Inggeris bersetuju untuk melindungi Dato’ Temenggong Sri Maharaja.

Artikel III: Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar tiga ribu dollar Sepanyol setahun kepada Dato’ Temenggong Sri Maharaja kerana mendirikan kilang itu.

Artikel IV : Dato’ Temenggong Sri Maharaja tidak boleh membuat sebarang hubungan dengan negara-negara lain atau membenarkan kuasa negara-negara lain masuk ke negerinya selain dari Inggeris, selagi Syarikat Hindia Timur Inggeris masih kekal dan sanggup memberikan perlindungan menurut perjanjian itu.

Artikel V : Apabila Sri Sultan (Hussein) tiba di Singapura kelak, kesemua perkara yang disebutkan dalam perjanjian ini diselesaikan serta disahkan, akan tetapi pihak Syarikat Hindia Timur boleh memilih suatu tempat untuk mendaratkan pasukan tenteranya dan barang-barang kelengkapan serta dagangan serta menaikkan bendera Syarikat.

Thomas Stamford Raffles (Kredit foto : Google)

Perjanjian yang ditandatangani pada hari ini mencetuskan permulaan sejarah penguasaan Inggeris ke atas Singapura.

Perjanjian antara Temenggong Sri Maharaja dan Stamford ini adalah merupakan persetujuan sementara dalam usaha Inggeris untuk menguasai Singapura kerana Temenggong itu tidak berhak menandatangani perjanjian sebenar. Hak dan kuasa itu terletak di tangan Sultan yang bersemayam di Lingga.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia

INFO KHIDMAT MASYARAKAT