Home Berita PAS Melaka

Rencana : Siapa yang sebenarnya tersiksa dan susah dengan darurat?

435
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

GETIK, loya dan rasa mual setiap kali membaca komen-komen daripada pemimpin-pemimpin pembangkang dan ‘sekutunya’ yang sekarang ini kerap mempopularkan frasa ‘kerajaan sanggup menyiksa dan menyusahkan rakyat dengan darurat’ bagi mempertikai proklamasi darurat.

Frasa ini sangat kerap diulang-ulang samada dalam kenyataan media rasmi atau di media-media sosial mereka setiap kali mereka mengulas tentang darurat yang telah dibuat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini

Sebenarnya mereka ini bukan tidak tahu, tapi mereka sengaja memperbodohkan rakyat dengan kata-kata mereka. Kalau yang mereka maksudkan dengan ‘penyiksaan dan kesusahan’ yang dialami oleh rakyat merujuk kepada situasi sesetengah perniagaan terpaksa ditutup dan rakyat tidak boleh bergerak bebas, itu adalah natijah daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bukan natijah daripada darurat.

Kita semua tahu bahawa kita pernah melalui PKP yang lebih ketat pada peringkat awal Covid-19 dahulu di mana semua orang tidak boleh bekerja langsung kecuali sektor yang kritikal. Hampir semua kedai ditutup.

Semua tahu bahawa PKP yang kita lalui sekarang sebenarnya lebih longgar daripada yang kita lalui kali pertama tahun lepas. Dan semua ini adalah kerana PKP, bukan kerana darurat. Malah PKP semasa darurat yang kita lalui sekarang ini hakikatnya lebih longgar daripada PKP dahulu tanpa darurat. PKP ini akan tetap dilakukan walau pun tanpa darurat disebabkan Covid-19.

Apa itu darurat dan apa itu PKP?

Kita kena faham apa sebenarnya yang terkandung di dalam darurat ini supaya kita tidak diperbodoh-bodohkan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang dan sekutu-sekutunya yang dungu ini.

Yang pertama darurat dapat mengelakkan daripada berlakunya pilihan raya. Kita semua tahu bahawa bencana gelombang ketiga Covid-19 yang sedang menyiksa kita sekarang ini adalah akibat daripada kerja orang-orang politik. Satu kumpulan ahli politik bertentangan cuba menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal melalui undi tidak percaya yang akhirnya menyebabkan Shafie membubarkan Dun Sabah lalu berlakulah Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beberapa kawasan DUN atau parlimen yang kosong kerana kematian wakilnya sekarang ini pun sudah diisytiharkan darurat bagi mengelakkan PRK. Sarawak pula perlu mengadakan PRN sebelum Jun ini. Ini yang mahu dielakkan dengan perlaksanaan darurat agar tidak berlaku pilihan raya semasa Covid-19 sedang mengganas. Adakah ini menyiksa dan menyusahkan rakyat?

Yang kedua Yang di-Pertuan Agong boleh membuat Ordinan Darurat atau pun undang-undang yang dirasakan perlu untuk mengawal penularan Covid-19 tanpa perlu memanggil Parlimen bersidang. Antara yang pernah diluahkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri ialah tentang isu pusat-pusat hiburan yang degil kerana denda sedia ada sangat rendah iaitu sebanyak RM1000 mampu dibayar oleh mereka.

Selain itu Yang di-Pertuan Agong juga boleh membuat ordinan yang berkaitan dengan sabotaj ekonomi tanpa perlu memanggil Sidang Parlimen. Sabotaj ekonomi adalah seperti menaikkan harga barangan sesuka hati, menyorok barangan dan lain-lain lagi.

Memang sepatutnya undang-undang dibuat oleh wakil-wakil rakyat di Parlimen tetapi dalam situasi sekarang kerajaan mempunyai majoriti yang tipis. Dalam kepala Ahli Parlimen pembangkang sekarang hanya ada ‘undi tak percaya’ dan ‘bubar parlimen’ sahaja. Sesetengah Ahli Parlimen kerajaan pula banyak ‘flip flòp’.

Sikap pembangkang yang hanya mahu menggagalkan apa sahaja yang cuba dilakukan kerajaan boleh menyebabkan undang-undang yang perlu akan gagal diluluskan. Jadi inilah gunanya darurat. Adakah dengan ini akan menyiksa dan menyusahkan rakyat?

Yang ketiga dengan darurat tentera diberi kebenaran untuk membuat tangkapan yang sebelum ini kuasa ini tidak ada pada tentera. Hanya undang-undang darurat yang membolehkannya. Jumlah anggota polis yang ada tidak mencukupi untuk menguatkuasakan PKP, terutama untuk menjaga sempadan daripada pendatang asing.

Dengan itu tentera boleh membuat tangkapan terhadap pendatang asing semasa membuat kawalan. Adakah ini akan menyiksa dan menyusahkan rakyat?

Yang keempat, dengan darurat kerajaan mempunyai kuasa untuk menggunakan fasiliti swasta yang difikirkan perlu untuk digunakan untuk menampung kekurangan fasiliti kerajaan bagi mengatasi masalah Covid-19 ini. Pihak swasta tidak boleh engkar kerana adanya Ordinan Darurat ini. Adakah ini akan menyiksa dan menyusahkan rakyat?

Yang tersiksa dengan darurat itu adalah ahli politik dungu.

Itu yang penulis pelik. Jika darurat yang baru diumumkan ini telah menyiksa rakyat berapa ramai yang telah ditangkap tanpa bicara kerana darurat? Berapa ramai rakyat yang disembur gas pemedih mata dan dipukul kerana darurat? Berapa ramai rakyat yang dirampas rumah mereka dan dihalau keluar kerana darurat? Berapa ramai rakyat yang mati bergelimpangan di jalan raya ditembak pihak tentera kerana darurat?

Sebenarnya yang tersiksa ialah ahli-ahli politik dungu yang kerja mereka berpolitik tak kira masa. Yang tersiksa ialah ahli politik yang tidak berpeluang menunjuk kuasa menggagalkan perancangan kerajaan di Parlimen.

Yang tersiksa ialah ahli politik yang tidak dapat menjatuhkan Perdana Menteri sedia ada untuk digantikan dengan orang yang mereka mahu. Yang tersiksa ialah ahli politik yang tidak dapat menuntut agar Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera. Yang tersiksa ialah orang politik yang terpaksa menunggu lama untuk jadi PM.

Ahli-ahli politik ini yang sebenarnya tersiksa. Lagi panjang darurat lagi tersiksa mereka. Lagi lama darurat lagi lama mereka terpaksa menunggu PRU.

Penulis teringat satu kuliah agama yang penulis hadiri tentang jenazah yang tersiksa jika lambat dikebumikan. Mayat-mayat itu akan menyumpah dan mencela mereka yang masih hidup yang lambat mengebumikan mereka. Barangkali beginilah siksanya ahli-ahli politik ini menunggu PRU sehingga habisnya darurat.

Rencana ini adalah Komen Editor Harakah yang disiarkan dalam Harakah cetak bilangan 2620 yang bertarikh 29 Januari 2021

INFO KHIDMAT MASYARAKAT