Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Perginya seorang tokoh politik, wartawan dan sasterawan Negara – Dato’ Ahmad Boestamam

1294
SHARE

19 JANUARI 1983 (RABU)

PADA hari ini dalam tahun 1983, Dato’ Ahmad Boestamam, seorang tokoh politik, wartawan dan sasterawan yang terkenal di negara ini telah meninggal dunia.

Beliau dilahirkan pada 30 November 1920 di Kampung Behrang Ulu, Tanjung Malim, Perak. Nama asal beliau adalah Abdullah Thani bin Raja Kecil tetapi lebih dikenali sebagai Ahmad Boestamam di gelanggang politik dan Ruhi Hyat di bidang kesusasteraan.

Memiliki pendidikan formal yang sederhana beliau membina pengetahuan lewat pembacaan, pergaulan dan pengalaman yang dilaluinya.

Dato’ Ahmad Boestamam, (Kredit Foto : Google)

Walaupun kewartawanan bukan merupakan kerjaya yang dicita-citakan, namun itulah bidang yang diceburi hasil dari minat dan bakat penulisan yang dimiliki dan dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.

Beliau pernah berkhidmat dengan semua surat khabar yang ada di negara ini sebagai salah seorang anggota sidang pengarang.

Pada awal 1940an bermulalah penglibatan Ahmad Boestamam di arena politik. Semangatnya turut memuncak apabila badan-badan politik Melayu bergabung menentang Malayan Union di sekitar tahun 1945 dan 1946.

Beliau mengetuai API (Angkatan Pemuda Insaf) cabang pemuda sayap kiri yang militan. Di saat negara hampir merdeka, Ahmad Boestamam menubuhkan Parti Rakyat Malaya yang kemudiannya bergabung dengan Parti Buroh sebagai ’Socialist Front’. Hasilnya ialah kemenangan beliau di Parlimen Setapak pada 1959.

Pada tahun 1941 beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan tetapi dibebaskan sebaik sahaja Jepun menguasai Malaya. Beliau ditahan semula pada 1948 bila API diharamkan sehingga 1955.

Pada tahun 1963 ke 1967 beliau dipenjarakan sekali lagi kerana dianggap menyokong pemberontakan Brunei dan membantu Indonesia melancarkan konfrantasi.

Kebanyakan novelnya dihasilkan di penjara. Cerita yang dipaparkan sebahagian besarnya adalah pengalaman di penjara yang membayangkan keyakinan politiknya.

Pada tahun 1978 beliau mengambil keputusan bersara daripada arena politik untuk menumpukan perhatian di bidang penulisan. Tambahan pula beliau pernah gagal dalam pilihan raya 1974 di Perak di atas tiket PEKEMAS.

Sebagai penghargaan kepada jasanya dalam perjuangan menentang dan menaikkan semangat politik menentang penjajah, juga menggalakkan nasionalisma di dalam karyanya, beliau telah dianugerahkan, Pingat Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.) yang membawa gelaran Datuk pada 12 Ogos 1976.

Ternyata pemergian beliau merupakan kehilangan kepada negara kerana sepanjang hayatnya kita menyaksikan kegigihan seorang politikus, wartawan dan sasterawan yang tidak kenal penderitaan bagi menegakkan keyakinan perjuangannya membela nasib rakyat demi mengangkat kemegahan negara yang merdeka.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia