Home Artikel PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah : Dato’ Onn meninggal dunia

518
SHARE

19 JANUARI 1962 (JUMAAT)

PADA hari ini dalam tahun 1962, Dato’ Onn bin Jaafar meninggal dunia. Pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara kita.

Beliau adalah seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik yang terulung di Tanah Melayu, yang berjaya meniupkan semangat kesedaran kebangsaan kepada orang-orang Melayu.

Dato’ Onn telah berjaya memimpin orang-orang Melayu menentang dan seterusnya menumbangkan Malayan Union. Dato’ Onn juga terkenal sebagai pengasas UMNO dan dipilih sebagai Presiden yang pertama apabila pertubuhan itu ditubuhkan dengan rasminya pada 11 Mei 1946.

Keratan akhbar berita kematian Dato’ Onn Jaafar (Kredit Foto : Google)

Dilahirkan dalam tahun 1895 di Johor Bharu, Dato’ Onn mempunyai 15 orang adik-beradik. Tidak seperti adik-adiknya yang lain, beliau semenjak dari kecil dipelihara oleh Sultan Ibrahim sebagai anak angkat baginda.

Dengan asuhan dan layanan diraja, pendidikan timur dan barat (di England) serta ajaran Islam maka tertanamlah di sanubari dan jiwanya perasaan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara, cintakan tanahair dan semangat kebangsaan dengan suburnya.

Ketika hayatnya, Dato’ Onn telah berjuang untuk memperbaiki dan meninggikan taraf hidup, pelajaran dan ekonomi orang-orang Melayu supaya dapat mempunyai kedudukan yang setanding dengan bangsa-bangsa lain.

Dato’ Onn, antara lain, pernah bekerja sebagai kerani pelatih di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor di Johor Bahru, berkhidmat sebagai kadet dalam Angkatan Tentera Negeri Johor (Timbalan Setia Negeri Johor), Pegawai Daerah Batu Pahat, Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Johor, Menteri Besar Johor, Pro Canselor Universiti Malaya (Singapura), Ahli yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Dalam Negeri Persekutuan Tanah Melayu dan Pengerusi RIDA.

Berita kematian beliau dalam usia 67 tahun diterima dengan rasa sedih dan terharu oleh rakyat jelata dan pemimpin-pemimpin negara di seluruh negara.

Keratan akhbar berita kematian Dato’ Onn Jaafar (Kredit Foto : Google)

Di saat keharuan itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dengan serta merta mengumumkan penghormatan negara kepada jenazah Dato’ Onn sebagai mengenang jasa-jasa beliau yang tidak ternilai kepada bangsa dan nusa.

Jenazah beliau disembahyangkan di Masjid Abu Bakar lalu dibawa ke Istana Besar untuk rakyat memberi penghormatan terakhir.

Tembakan meriam hormat sebanyak 17 kali telah dilepaskan sebaik-baik saja jenazah itu dibawa keluar dari Istana Besar di atas sebuah kereta meriam yang ditarik oleh anggota-anggota Angkatan Tentera Laut Diraja Malaya dengan diiringi oleh 300 orang anggota dan pegawai-pegawai daripada Angkatan bersenjata Tanah Melayu dan Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces), menuju ke Perkuburan Diraja Mahmudiah.

Di samping beribu-ribu rakyat jelata turut mengiringi jenazah Almarhum itu ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Anggota-anggota Parlimen, Menteri-menteri Besar, Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat, Wakil Raja-Raja Melayu, Pembesar-Pembesar Negeri/Daerah, Wakil Kerajaan Singapura dan Canselor Universiti Singapura.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia