Home Rencana PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Pelantikan Raja Yusuf sebagai Pemangku Sultan Perak

789
SHARE

27 JULAI 1877 (JUMAAT)

PADA hari ini 27 Julai 1877, Raja Yusuf telah dilantik sebagai Pemangku Sultan Perak dengan memakai gelaran ‘Regent’.

Tujuan pelantikan ini dibuat ialah untuk mengisi kekosongan takhta Kerajaan Perak setelah Sultan Abdullah disingkirkan oleh Inggeris kerana terlibat dalam rancangan pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875.

Raja Yusuf (Kredit foto : Google)

Raja Yusuf tidak dilantik terus sebagai Sultan kerana beberapa sebab. Pertama, adalah kerana baginda merupakan seorang raja yang lemah dan tidak disukai oleh pembesar-pembesar negeri. Oleh itu baginda terpaksa menjadi pemangku Sultan selama hampir 10 tahun.

Pelantikan Raja Yusuf yang lemah ini sebagai Pemangku Sultan telah memaksa pihak Inggeris mengatur langkah-langkah supaya baginda dapat diterima oleh semua lapisan rakyat sebagai Sultan.

Untuk itu Presiden Hugh Low telah melantik Raja Yusuf menjadi Pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan pada 10 September 1877.

Walau bagaimanapun kedudukan baginda dalam Majlis tersebut juga sering dicabar oleh Raja Idris yang juga berhak terhadap takhta Kerajaan Perak.

Pada tahun 1878, Raja Idris telah berkahwin dengan Raja Nuteh Aisah iaitu puteri Sultan Yusuf. Dengan perkahwinan ini, Sultan Yusuf yang telah uzur dan lanjut usia itu banyak menyerahkan urusan-urusan pentadbiran kepada Raja Idris.

Penyerahan tugas-tugas ini telah membolehkan Raja Idris meluaskan pengalaman dalam urusan pentadbiran negeri.

Oleh yang demikian apabila Sultan Yusuf diisytiharkan dengan rasminya menjadi Sultan Perak pada 27hb. Oktober, 1886, Majlis Mesyuarat Negeri juga telah bersetuju supaya Raja Idris ditabalkan menjadi Raja Muda Perak.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia