Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Operasi Bank Islam Malaysia Berhad dilancarkan

20
SHARE

01 JULAI 1983 (JUMAAT)

PADA hari ini dalam tahun 1983, Operasi Bank Islam Malaysia Berhad dilancarkan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Bank Islam Malaysia Berhad memulakan operasinya di Bangunan Ibu Pejabat PERNAS Jalan Raja Laut.

Dato’ Seri Dr. Mahathir merupakan orang pertama membuka akaunnya diikuti oleh Menteri Kewangan, YB Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, YB Encik Anwar Ibrahim serta Timbalan Menteri Kewangan YB Encik Sabbaruddin Chik.

Majlis pelancaran operasi Bank Islam ini juga telah dihadiri oleh wakil-wakil Pertubuhan Islam antarabangsa dan tempatan bagi memberikan sokongan terhadap operasi Bank Islam.

Sambutan orang ramai terhadap Bank Islam amat menggalakkan dan para penyimpannya yang membuka akaun bukan sahaja terdiri dari orang-orang Islam tetapi juga oleh orang-orang bukan Islam yang tertarik dengan sistem kewangan Islam ini.

Kredit foto : Google

Dalam ucapan pelancarannya, Perdana Menteri menyatakan bahawa pengenalan Bank Islam kepada rakyat adalah untuk memberi pilihan kepada sistem kewangan yang sedia ada.

Dengan pelancaran operasi Bank Islam Malaysia Berhad telah membuktikan bahawa kerajaan mengambil berat tentang hasrat rakyat yang inginkan kepada satu institusi Bank Islam yang menjalankan urusniaga secara yang dihalalkan oleh Islam.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia