Home Berita PAS Melaka

Rencana | Kenaikan harga minyaķ sawit, apa solusinya? (Bahagian 2)

145
SHARE
Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Oleh IBNU JANIE

DALAM bahagian pertama rencana ini sebelum ini, penulis telah membincangkan tentang fenomena kenaikan harga buah sawit yang asalnya menjadi rahmat kepada peneroka dan pekebun kecil sawit namun akhirnya menjadi masalah kepada rakyat Malaysia apabila harga minyak masak itu pula naik mencanak di pasaran.

Persoalan yang timbul ialah jika harga buah sawit dibiarkan rendah agar harga minyak masaķ juga rendah maka sampai bila pun nasib peneroka dan pekebun kecil sawit akan kekal menjadi kerjaya ‘orang miskin’. Jadi apa pilihan yang sebaiknya?

Dalam rencana bahagian kedua ini kita akan membuat beberapa diagnosis terhadap apa yang berlaku terhadap masalah kenaikan harga barang-barang secara umum dan kita lihat bagaimana cara yang sesuai untuk mengatasi kenaikan harga minyak sawit ini.

Seperti yang penulis terangkan dahulu ia melibatkan suatu perbincangan yang panjang. Dan perbincangan ini sebenarnya bukan hanya untuk sawit sahaja tetapi juga untuk semua komoditi-komoditi lain yang ada elemen subsidi atau terkawal dari segi harga.

Mengapa perlu bincang panjang-panjang? Mengapa tidak selesaikan sahaja dengan subsidi dan kawalan harga? Memang benar ada elemen subsidi dan kawalan harga oleh kerajaan yang bagi penulis sebenarnya lebih bersifat penyelesaian jangka pendek dan kecemasan.

Penyelesaian untuk masalah ekonomi seperti ini memerlukan satu penyelesaian yang holistik. Kita perlu mengelakkan daripada mengambil penyelesaian dengan menggunakan strategi ubat tahan sakit (painkiller) yang hanya melegakan tetapi tidak menyembuhkan.

Tapi seringkali strategi-strategi ekonomi akan dirosakkan oleh ahli-ahli politik yang mengejar populariti. Namun tidak boleh juga salahkan ahli politik. Nyawa kerjaya mereka ditentukan oleh rakyat. Jadi mereka perlu akur pula kepada kehendak rakyat. Itulah dilemanya.

Baik, sudah pasti ada yang mencadangkan agar kerajaan mengawal harga sesuatu komoditi atau barang-barang keperluan agar pengeluar tidak menaikkan harga barangan itu yang dijual di pasaran.

Sebelum kita membincangkan samada kawalan harga boleh menyelesaikan masalah kenaikan harga barang keperluan ini atau tidak, kita kena tahu apa punca kenaikan harga sesuatu produk secara umum yang ada di pasaran.

Mengapa harga barang naik?

Secara asasnya ada dua sebab utama mengapa berlaku kenaikan dalam harga sesuatu barang secara umum. Yang pertama ialah kerana kenaikan kos pengeluaran dan yang kedua kerana lebihan permintaan.

Kenaikan kos pengeluaran berlaku apabila berlaku kenaikan dalam kos yang ditanggung oleh pengeluar atau mana-mana bahagian dalam rantaian pengedaran.

Pengeluar adalah pengilang yang menghasilkan produk itu. Rantaian pengedaran ialah orang tengah yang membolehkan produk itu sampai kepada pembeli. Mereka ialah pemborong dan peruncit.

Kos yang ditanggung antaranya ialah kos bahan mentah, upah, sewa, utiliti, cukai, bahan api, pengangkutan dan lain-lain kos.

Sebarang kenaikan kos yang ditanggung oleh pengeluar, pemborong atau peruncit akan menyebabkan harga sesuatu produk itu meningkat bagi memastikan mereka dapat menampung kos dan mendapat untung.

Sebab kedua kenaikan harga barang ialah disebabkan lebihan permintaan. Lebihan permintaan bermaksud jumlah yang diminta oleh pembeli lebih tinggi daripada penawaran iaitu jumlah yang mampu dikeluarkan oleh pengeluar. Jadi oleh kerana ramai yang inginkan produk itu maka pengeluar menaikkan harga barang itu untuk mengaut keuntungan lebih.

Ini kita boleh saksikan apabila berlaku musim perayaan sesetengah harga barang keperluan akan naik kerana semua orang akan berlumba-lumba mahu membeli sesuatu produk itu.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Beza antara kenaikan harga disebabkan peningkatan kos berbanding disebabkan oleh lebihan permintaan ini ialah kenaikan harga disebabkan peningkatan kos pengeluaran tadi jika peniaga tidak menaikkan harga maka dia akan rugi.

Namun bagi kenaikan yang disebabkan oleh lebihan permintaan tadi jika peniaga itu tidak menaikkan harga, ia tidak membuatkan mereka rugi. Cuma mereka tidak dapat mengambil peluang mengaut keuntungan yang besar sahaja.

Mengapa kita membincangkan perkara ini? Kita perlu melihat dahulu adakah sesuatu kawalan harga oleh kerajaan itu praktikal untuk dilakukan atau tidak.

Ini adalah kerana bagi kenaikan harga disebabkan oleh kenaikan kos adalah sesuatu yang tidak realistik kepada kerajaan untuk mengawalnya. Dengan mengarahkan peniaga menurunkan harga bagi produk-produk yang dinaikkan harga kerana kenaikan kos maka ia akan menyebabkan peniaga-peniaga mengalami kerugian.

Ini bukan soal mempertahankan peniaga, ini soal untuk memastikan aktiviti ekonomi sentiasa di dalam landasan yang betul.

Katalah sesuatu produk itu asalnya dijual pada harga RM5 dengan kosnya ialah RM4. Katalah kosnya meningkat kepada RM5, jadi peniaga kini menjualnya dengan harga RM6.

Kerajaan boleh sahaja memaksa peniaga mengekalkan pada harga RM5 tetapi ia akan menyebabkan peniaga tiada untung. Konsep perniagaan ialah membeli pada harga kos dan menjualnya pada harga yang lebih tinggi. Beli pada RM4 dan jual pada harga RM5 dan mendapat untung sebanyak RM1.

Sekiranya seseorang peniaga itu dipaksa oleh kerajaan untuk menjual pada harga kos atau lebih rendah dari itu maka peniaga akan rugi atau tiada untung. Sedangkan keuntungan kepada peniaga adalah umpama gaji kepada seseorang pekerja.

Apabila seseorang pèniaga tidak mampu lagi menjana keuntungan daripada perniagaannya maka mereka mungkin terpaksa menutup perniagaannya.

Sekarang bagaimana pula dengan kenaikan harga yang disebabkan oleh tekanan permintaan?

Harga yang dinaikkan kerana tekanan permintaan hanya disebabkan peniaga yang mahu mengambil peluang mengaut untung atas lebihan permintaan.

Kerana itu, untuk kes-kes seperti ini kerajaan boleh masuk campur dan cuba mengawal atau menetapkan harga selagi ia masih memberi keuntungan kepada peniaga itu.

Sebab itu kita lihat pada musim-musim perayaan biasanya harga barang-barang keperluan akan naik harga kerana pada masa itu permintaan sangat tinggi.

Contohnya pada masa itu semua rumah akan membeli ayam untuk dibuat rendang. Jadi permintaan untuk ayam akan jadi lebih tinggi daripada biasa. Jadi harganya akan naik.

Pada masa ini biasanya kerajaan akan mengawal harga dengan menetapkan harga siling jualan agar peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya. Ia biasanya dikawal untuk satu tempoh tertentu sehingga selesai perayaan.

Namun begitu pengeluar tamak yang menaikkan harga kerana tekanan permintaan, bukan kerana peningkatan kos sebenarnya juga boleh membawa kepada kenaikan harga kos terhadap saluran pengedaran.

Gambar hiasan (Kredit foto : Google)

Sebagai contoh, penternak ayam tidak menghadapi masalah kenaikan kos. Tetapi oleh kerana ada permintaan yang tinggi terhadap ayam menyebabkan penternak menaikkan harga ayam yang dijual kepada pemborong dan peruncit.

Peningkatan harga oleh penternak tadi adalah disebabkan oleh tekanan permintaan dan rasa tamak untuk mengaut keuntungan. Namun begitu di pihak pemborong dan peruncit pula kenaikan itu sudah menjadi kenaikan disebabkan peningkatan kos.

Kerajaan boleh memaksa penternak untuk menurunkan harga. Tetapi sukar untuk kerajaan memaksa pemborong dan peruncit menurunkan harga kerana mereka menghadapi kenaikan kos disebabkan oleh pengeluar menaikkan harga.

Kerana itu dalam soal kawalan harga ini kerajaan perlu tahu samada kenaikan harga itu kerana tekanan permintaan atau pun kerana kenaikan kos.

Sekiranya kerajaan mahu mengawal harga yang disebabkan tekanan permintaan kerajaan harus tahu di mana punca berlaku kenaikan yang disengajakan itu. Baru ia boleh menyelesaikan masalah. Di bahagian mana dalam saluran pengedaran yang telah sengaja menaikkan harga.

Jika yang menaikkan harga itu pemborong tetapi kerajaan menyaman peruncit sudah tentu itu tidak adil.

Sekarang kita sudah memahami bahawa mekanisme penetapan harga oleh kerajaan tidak boleh digunakan untuk mengawal harga pada semua situasi.

Insya-Allah dalam siri akan datang kita akan melihat bagaimana subsidi berfungsi untuk mengawal harga dan masalah-masalah berkaitan subsidi.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Editor Berita PAS Pusat.

(Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 21 Jun 2021)