Home Berita PAS Melaka

Hari ini dalam sejarah | Belanda kalah di Selangor

27
SHARE

28 JUN 1785 (SELASA)

PADA hari ini dalam tahun 1785, orang-orang Belanda di bawah pimpinan Komander Gerardus Zwykhardt dan August Gravensteyn terpaksa lari meninggalkan kubu-kubu mereka di Kuala Selangor dan balik ke Melaka.

Orang-orang Belanda itu telah dapat dikalahkan oleh angkatan Sultan Ibrahim Shah, Sultan Selangor kedua yang diketuai oleh baginda sendiri dengan bantuan dua ribu orang Pahang yang diberikan oleh Bendahara Abdul Majid.

Serangan ke atas kubu-kubu itu dilakukan pada waktu malam 27 Jun 1785.

 

Kredit foto : Google

Ketika Kompeni Belanda berkuasa di Kuala Selangor mereka mengambil alih kubu-kubu pertahanan Sultan Ibrahim di Kuala Selangor dan melantik Raja Muhammad Ali Siak sebagai Pemangku Yang Dipertuan Selangor.

Tetapi akhirnya, Sultan Ibrahim dan pengikut-pengikutnya dan dengan bantuan orang-orang Pahang telah berjaya menawan kembali kubu Kuala Selangor dan mengusir Belanda dari situ.

Apabila Sultan Ibrahim berkuasa semula baginda telah memperbaiki dan membina kubu-kubu di atas kawasan bukit di Kuala Selangor.

Melihatkan kekuatan kerajaan Sultan lbrahim, Kompeni Belanda memutuskan untuk berbaik-baik dengan baginda.

Kredit foto : Google

Sebagai ekorannya, pada 29 Jun 1786, satu perjanjian telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak.

Sesungguhnya kemenangan yang dicapai ini, mampu menebus kembali kekalahan Selangor dan semangat bersatu yang tertinggi dalam kalangan rakyat merupakan faktor penyumbang kepada kejayaan tersebut.

Sumber : Ihsan Arkib Negara Malaysia