Home Berita PAS Johor

Gotong-royong bersama MN dan PN Muar

416
SHARE

Oleh: Sharifah Ajil

MUAR – Gabungan tenaga bersama Muafakat Nasional Muar telah membantu kerja-kerja pembersihan di dua lokasi sekitar Dun Sungai Balang di sini, kelmarin.

Lokasi pertama di Kompleks Penghulu Mukim Parit Jawa di Jalan Bukit Mor. Bersama entiti PAS iaitu Jabatan Amal Muar dan Dewan Pemuda PAS serta kerjasama Skuad Sabil Muar telah melakukan kerja gotong-royong membersihkan kompleks tersebut.

Pimpinan dari PAS yang hadir diketuai oleh Yang Dipertua dan Timbalan YDP, Abd Aziz Talib dan Cheman Yusoh, Ketua Pemuda, Ustaz Ridzuan Nazri serta seorang wakil Ahli Majlis MPM, Masudin Chamiran.

Kerja-kerja pembersihan, mengecat dan mengindahkan kompleks ini adalah untuk merealisasikannya menjadi Pusat Pengembangan Komuniti Setempat di samping mewujudkan sebuah Laman Tani. Mengadakan gotong-royong tersebut juga merupakan langkah memenuhi saranan Pegawai Daerah Muar sendiri melalui konsep ABC – 19 (Agen Bebas Covid-19).

“Diharapkan para belia dapat memainkan peranan membantu mengaktifkan kompleks ini selari dengan hasrat yang digariskan oleh Pegawai Daerah. Kerjasama daripada semua pihak amat diharapkan untuk menjayakan realisasi itu, ” ujar Tuan Penghulu, Azehan Yahya semasa meraikan kehadiran petugas di kompleks itu.

Lokasi kedua pula ke sebuah rumah di tanah rezab Sungai Pulai Laut yang sudah agak uzur. Tuan rumah, Hairul Anuar Isa merupakan seorang pemegang kad OKU dengan lima orang anak serta juga penerima bantuan Baitulmal.

Kerja gotong-royong adalah membersihkan rumah dan kawasan sekitar serta membina semula bilik air yang melibatkan kos anggaran lebih 2k.

Hadir sama, Yang Dipertua, Abd Aziz Talib, Ketua Pemuda, Ustaz Ridzuan Nazri dan Ketua Cawangan Ustaz Mohamad Lamapanggaro Tahir serta ahli jawatankuasanya. Juga turut hadir, Pengerusi Bersatu Muar, Basut Nin, Setiausaha, Ezhar Jasmary, Naib Ketua Pemuda, Zainudin Ahmad dan Kamariah Baharom, Ketua Biro Kebajikan.

“Saya mengharapkan agar kerjasama dan ukhuwah yang terjalin akan berkekalan dan terus diperkukuhkan kerjasama yang ada supaya semua dapat manfaatnya,” demikian ucapan ringkas Abd Aziz.

Sementara dalam ucapannya, Basut Nin pula mengharapkan agar kebajikan rakyat dapat terus menjadi fokus utama demi membantu mereka semampu yang boleh.

Nampak jelas kegembiraan tuan rumah yang amat bersyukur, keuzuran rumahnya dapat diperbaiki dan berhasrat memohon untuk memiliki rumah di atas tanah sendiri.