KOTA BHARU, 3 Oktober: Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah menjadi acara tahunan bagi memenuhi hasrat Kerajaan Negeri untuk sentiasa membugarkan sejarawan Islam dalam kalangan masyarakat supaya dapat mengetahui fakta sebenar dan mencontohi mereka, terutamanya dalam mengatur strategi dakwah yang betul dan mendapat keberkatan.
“Isteri-isteri nabi bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri, malah mereka juga berjuang untuk menegakkan Islam, sebagaimana Aisyah sendiri, beliau juga keluar berperang.
Perkara inilah yang perlu dicontohi oleh golongan wanita pada hari ini, yang mana mereka perlu ke hadapan dan berjuang untuk bangsa, agama dan negara.”
Demikian ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama YB Dato’ Ahmad Marzuk Shaary ketika merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri tidak pernah menghalang golongan wanita untuk turut bertanding dalam dewan undangan negeri (DUN) mahupun parlimen, malah ada wanita Kelantan juga dilantik sebagai exco dan Timbalan Menteri, ini kerana ruang dan peluang yang ada perlu diiisi oleh kaum mereka.
Program anjuran bersama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Negeri Kelantan dengan Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) Pengkalan Chepa telah mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta wanita untuk bersama mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Asma’ Harun yang bertajuk ‘Wanita Solehah Pemangkin Negara Sejahtera’.
Turut diadakan ialah Bantuan Cakna Hawa 2022 Parlimen Pengkalan Chepa kepada 200 orang penerima yang dipilih dalam kalangan wanita yang berkerjaya sebagai tanda penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan, jasa dan khidmat yang telah dicurahkan kepada masyarakat.
Dalam majlis yang sama, Sabariah Hassan, 51 telah mendapat hadiah cabutan bertuah utama sebuah basikal elektrik yang disampaikan oleh YB Dato’ Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
Turut hadir ialah isteri YB Dato’ Ahmad Marzuk Datin Pg. Siti Radziah Pg Abdullah, Datin Bentara Setia Datin Sabariah Tuan Ishak dan isteri YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Azizah Hanim Mat Daud.