Home Berita PAS Johor

Golongan asnaf disantuni Skuad Maharani Prihatin Muar

182
SHARE

Oleh : SHARIFAH AJIL

MUAR, 6 Feb : Skuad Maharani Prihatin Muar meneruskan program mingguannya menyantuni golongan asnaf di sini, kelmarin.

Program berkala setiap minggu ini menyasarkan golongan MOSWAY (Miskin, OKU, Sakit, Warga Emas, Armalah dan Yatim) yang berada di sekitar parlimen Muar.

Sebanyak 15 buah rumah telah dapat dikunjungi iaitu di Parit Amat, Parit Unas dan Parit Haji Ali. Di samping titipan doa, sumbangan barangan keperluan makanan dan wang juga diberikan.

Salah seorang pesakit, Hamizah Md Yusof, 59, yang mengidap darah tinggi, kencing manis, patah tangan dan masalah dalam perut begitu terharu atas kunjungan tersebut.

“Saya dah tak boleh bergerak, bergantung kepada kerusi roda sahaja. Mengharap ehsan suami dan anak-anak untuk mengurus diri saya.

“Rasa gembira dapat bertemu mantan wakil rakyat Dun Maharani, Dr Mohamad Taslim yang dulu pernah membantu rawatan kesihatan saya,” ujarnya berbaur rasa gembira bercampur sedih.

Dr Mohamad Taslim yang juga merupakan Naib Ketua PAS Muar telah memeriksa kesihatan Hamizah dan mengesyorkan agar terus konsisten memakan ubat yang diberi.

Turut serta dalam program ini ialah Timbalan Yang Dipertua, Cheman Yusoh, Ketua Penerangan & Media Bahru, Dr Baharom Mohamad, Ketua Muslimat, Norhayati Sulaiman dan Ketua Pemuda, Hadi Abu Bakar.

Program Skuad Prihatin Maharani Muar adalah di bawah Lujnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS Kawasan Muar.

“Untuk pesakit yang memerlukan bantuan katil pesakit, kerusi roda atau tongkat, pihak kami akan membantu menguruskannya. Boleh berhubung dengan kami, ” demikian dijelaskan oleh Ketua Skuad Prihatin Maharani Muar, Syukor Naam.