Home Kenyataan Media PAS Pulau Pinang

Tegas menolak projek pembinaan asrama pekerja asing di Teluk Kumbar

289
SHARE

Dewan Pemuda PAS Kawasan Balik Pulau menyokong penuh bantahan untuk menolak cadangan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang yang ingin membina tiga buah asrama pekerja asing di sekitar Teluk Kumbar.

Kami juga berdiri teguh dengan kenyataan Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang merangkap YDP PAS Kawasan Balik Pulau Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff baru-baru ini untuk menolak projek pembinaan asrama pekerja asing dalam kawasan penempatan yang majoritinya orang melayu.

Projek yang membabitkan tiga kawasan iaitu sekitar Bandar Baru Perda Teluk Kumbar, Bagan Teluk Kumbar dan Sungai Batu, sekiranya dilaksanakan dianggar seramai 35,000 pekerja warga asing akan ditempatkan di ketiga-tiga kawasan terbabit dan menjangkakan setiap lokasi akan dimuatkan lebih 10,000 pekerja asing mengikut keluasan tapak.

Kelulusan projek ini akan memberi implikasi yang sangat buruk antaranya ialah kesesakan lalu lintas kedua-dua hala dari Teluk Kumbar menuju ke Bayan Lepas atau sebaliknya terutamanya diwaktu kemuncak kerana kesesakan yang sedia ada juga masih belum dapat diatasi.

Selain itu,pelbagai masalah sosial dan kebersihan juga akan lebih berleluasa dengan terbinanya penempatan untuk pekerja asing di kawasan tersebut.

Oleh itu,Pemuda PAS Balik Pulau ingin menegaskan akan bersama-sama dengan penduduk setempat serta NGO-NGO bagi menyatakan bantahan dan penolakan terhadap projek ini serta mengingatkan Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP agar membatalkan segera projek ini.

“Islam Menyatukan Ummah”

Mohamad Razis Abdul Rahman

Ketua Penerangan Pemuda PAS
Negeri Pulau Pinang
Ketua Pemuda PAS Kawasan Balik Pulau

5 Februari 2022 l 3 Rejab 1443H