Home Berita PAS Kelantan

Fasiliti belum lengkap, PDPR di luar bandar terjejas

22
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
MANIK URAI, 28 Jul: Fasiliti telekomunikasi dan kemudahan peranti yang belum lengkap menjejaskan sesi pembelajaran secara atas talian bagi pelajar sekolah di kawasan luar bandar.
Demikian kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manik Urai, YB Mohd Fauzi Abdullah (Abe Uji) ketika ditemui di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Manik Urai (PKMMU), semalam.
Beliau menegaskan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) amat bergantung kepada dua faktor utama iaitu capaian internet berkualiti untuk semua guru dan pelajar berserta kemudahan peranti untuk pelajar mengikuti kelas secara atas talian.
“Perancangan untuk mengaktifkan Pusat Internet di PKMMU sebaik sahaja pengumuman sesi PdPR bermula, memang sejak tahun lepas kita bincangkan.
Pelan tersebut ditangguh kerana talian internet di sini masih menggunakan wi-fi berkapasiti 1mbps yang terletak di Sungai Sok sejauh 500 meter dari sini.
Kita masih menunggu proses naiktaraf kepada sistem Unifi 100 hingga 300 mbps oleh pihak TM.
Seperkara lagi, kelengkapan komputer untuk kegunaan pelajar belum mencukupi.
Kita hanya mampu menyediakan beberapa unit komputer sahaja kepada pelajar cemerlang di beberapa buah sekolah pada sesi terdahulu dan jumlah tersebut tidak mampu menampung sebilangan besar lagi pelajar lain”, katanya.
Kenyataan beliau turut disokong oleh Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Manik Urai, Omar Junoh yang sudah menggalas tanggung jawab tersebut selama 13 tahun.
“Berdasarkan pemerhatian saya, guru, ibu bapa dan pelajar di kebanyakan sekolah di Manik Urai amat berdisiplin dan sentiasa menyambut baik setiap arahan kerajaan.
Namun dalam hal PdPR ini, mereka tidak dapat memberi kerjasama kerana kekangan faktor luaran dan sebab peribadi.
Penyediaan infrastuktur oleh pihak pembekal talian Unifi belum sempurna di kawasan luar bandar amat menjejaskan kualiti capaian internet dan faktor ekonomi ibu bapa itu sendiri yang tidak mampu membeli telefon pintar kepada anak-anak mereka juga membantutkan sesi PdPR”, katanya ketika ditemui pada sesi berasingan.