Home Berita PAS Kedah

Exco ziarah keluarga OKU yang maut dalam kebakaran

179
SHARE

Oleh: Wan Mohd Amirul Asyraf Wan Kamarzaman

POKOK SENA – Exco Kerajaan Negeri Kedah, Wan Romani Wan Salin melakukan ziarah ke atas keluarga mangsa yang maut dalam kebakaran rumah di Kampung Lepai pada Rabu, kira-kira 10 kilometer dari sini.

Dalam kejadian pada pagi tersebut, bapa mangsa yang terkorban, Azmi Che Azmi, 71 memaklumkan beliau keluar sebentar untuk menghadiri temujajnji suntikan vaksin.

Namun bertindak berpatah balik ke rumahnya kerana berasa tidak sedap hati meninggalkan anak sulungnya, Amiza Azmi, 50 seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) berseorangan di rumah.

Sebaik tiba, beliau melihat api telah marak menjilat rumahnya dan berusaha untuk masuk menyelamatkan anaknya namun dihalang oleh jirannya yang hadir.

Difahamkan ketika itu, isteri Azmi, yang terlantar akibat penyakit lumpuh, berada di rumah anaknya yang lain di Pulau Pinang.

Menurut Ketua Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pokok Sena, Fisol Abd Kadir, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut dan tiba di tempat kejadian dalam tempoh 10 minit dan berjaya mengawal kemaraan api dari melarat ke rumah yang berdekatan.

Malangnya, percubaan mereka untuk masuk ke dalam dalam rumah bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap gagal kerana api terlalu marak dan boleh membahayakan keselamatan anggota yang bertugas.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Mengulas kejadian tersebut, Wan Romani menyatakan pihak kerajaan akan membantu keluarga mangsa tersebut secepat mungkin memandangkan berlaku lebih 70% kerosakan pada rumah tersebut akibat kebakaran itu.

“Saya dimaklumkan Azmi akan tinggal sementara di rumah jiran yang juga saudaranya sementara menunggu rumahnya siap dibaik pulih,” ujarnya.

Beliau yang juga ADUN Bukit Pinang turut menyerahkan sumbangan Kafalah dari Kerajaan negeri berjumlah RM300 berserta sumbangan peribadinya bagi meringankan beban mangsa.