Home Berita PAS Kelantan

EXA Summerlife taja RM390 ribu, sokong padu KUFC

52
SHARE

KOTA BHARU, 31 Jan: Demi sokongan padu terhadap pasukan bola sepak Kelantan United Football Club (KUFC), Pengarah EXA Summerlife Sdn Bhd., Irwan Firdaus Mohamad
berbangga menjadi antara penaja setiap tahun KUFC sejak musim 2020.

“Atas sebab minat yang mendalam serta komitmen berterusan syarikat EXA Summerlife Sdn Bhd. kepada skuad Sang Kijang Hijau, pada musim ini kami bersetuju menyerahkan tajaan merangkumi wang tunai, peralatan pejabat serta air kotak berjenama Summerfield yang bernilai RM390 ribu,” katanya.

Selepas menandatangani perjanjian penajaan beliau melaksanakan penyerahan tajaan tersebut kepada Ketua Pegawai Operasi KUFC Wan Mohd Zul Ikman di Pejabat Urusan kelab di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Irwan Firdaus berharap penajaan tersebut membantu meningkatkan prestasi KUFC serta melancarkan perjalanan kelab yang akan berentap dalam saingan Liga Super untuk musim 2023.

Sementara itu, Presiden KUFC YB Rozi Muhammad berterima kasih kepada penaja dan mengucapkan syabas kepada KUFC atas kejayaan menewaskan Negeri Sembilan FC 2-0, sempena perlawanan pra musim, semalam.

“Kita bersyukur atas kurniaan rezeki berganda melalui penajaan daripada EXA Summerlife dan kemenangan kedua KUFC melonjakkan semangat pemain untuk terus menjuarai dua lagi perlawanan persahabatan bertemu KL City FC pada malam ini dan pasukan PDRM FC pada 2 Februari nanti. Sama-samalah kita doakan KUFC berada antara kedudukan terbaik dalam persaingan sebenar menerusi Liga Super Malaysia 2023,” katanya.

YB Rozi turut memaklumkan Exco Belia, Sukan dan NGO Kerajaan Negeri Kelantan YB Wan Roslan Wan Hamat begitu berminat mengetahui perkembangan terkini kemajuan KUFC dalam menghadapi persaingan Liga Super musim ini.

“Pengurusan tertinggi KUFC mengadakan kunjung hormat ke pejabat YB Wan Roslan, Khamis lepas dan berterima kasih atas segala sokongan moral kerajaan negeri kepada KUFC,” jelasnya.