KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat
5 Rabiul Akhir 1441 l 2 Disember 2019
EKSPO TATTOO MALAYSIA 2019 : JANGAN MENGUNDANG BALA TUHAN
1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam penganjuran program Ekspo Tattoo Malaysia 2019 yang berlangsung pada 29 November hingga 1 Disember baru-baru ini di Kuala Lumpur susulan peragaan separuh bogel diadakan pada acara program tersebut.
2. DUPP menegaskan bahawa program seumpama tersebut adalah biadap dan mencemarkan imej negara Malaysia sebagai sebuah negara yang memperuntukkan agama Islam selaku agama Persekutuan malah mencabuli kesopanan dan kesusilaan yang menjadi salah satu tonggak rukun negara yang lima.
3. Program seumpama tersebut hanya mengundang bala dan kemurkaan Allah SWT apabila jelas menonjolkan perkara-perkara yang diancam laknat oleh Allah SWT dan Rasul-Nya iaitu tatu serta peragaan separuh bogel antara lelaki dan wanita secara terbuka di tengah kota bandaraya sekalipun di dalam ruang dewan.
Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
لَعَنَ اللهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُسْتَوْشِمَاتِ ، وَالنَّامِصَاتِ وَالمُتَنَّمِصَاتِ ، وَالمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ
Maksudnya:
“Allah SWT melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu. Orang yang mencabut bulu mata dan orang yang diminta cabut bulu matanya. Orang yang menjarangkan giginya demi kecantikan sehingga merubah ciptaan Allah SWT”. – riwayat Muslim
4. DUPP juga mendesak agar pihak berautoriti dalam hal ehwal agama seperti YB Menteri Agama untuk lebih berani, tegas dan lantang dalam perkara-perkara sebegini kerana jelas ia merosakkan nilai agama, budaya kesopanan masyarakat dan mencemarkan imej negara di peringkat dalam serta antarabangsa. Ini kerana tindakan naif dengan mendiamkan diri dari mencegah kemungkaran yang berada di sekeliling juga adalah mengundang laknat dari Allah SWT.
Firman Allah SWT :
لُعِنَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِنۢ بَنِیۤ إِسۡرَ ٰۤءِیلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُۥدَ وَعِیسَى ٱبۡنِ مَرۡیَمَۚ ذَ ٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ یَعۡتَدُونَ * كَانُوا۟ لَا یَتَنَاهَوۡنَ عَن مُّنكَرࣲ فَعَلُوهُۚ لَبِئۡسَ مَا كَانُوا۟ یَفۡعَلُونَ
Maksudnya :
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan.” [Surah Al-Ma’idah 78 – 79]
5. DUPP menegaskan bahawa usaha untuk mewujudkan negara rahmah mestilah bertepatan dengan model negara yang dibangunkan oleh Baginda Nabi SAW dengan perlaksanaan amar makruf nahi mungkar. Apalah ertinya laungan slogan rahmah tanpa menjadikan agama Islam sebagai aqidah dalam pemerintahan dan perlaksanaan pentadbiran negara.
Al-Imam al-Ghazali menyebutkan :
الإِسْلامُ وَالسُّلْطَانُ أَخَوَانِ تَوْأَمٌ ، لا يَصْلُحُ وَاحِدٌ مِنْهُمَا إِلا بِصَاحِبِهِ ، فَالإِسْلامُ أُسُّ وَالسُّلْطَانِ حَارِسٌ ، وَمَا لا أُسَّ لَهُ مُنْهَدِمٌ ، وَمَا لا حَارِسَ لَهُ ضَائِعٌ ” .
“Islam dan pemerintahan umpama dua saudara yang kembar. Tidaklah satu itu menjadi elok melainkan dengannya bersama yang satu lagi. Maka Islam itu asas dan pemerintahan itu penjaga. Apa yang tiada asas maka ia akan runtuh dan apa yang tiada penjaga maka ia akan lenyap.”
Sekian.
YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat