Home Khas

Himpunan Komunis Kajang : PAS Desak Kerajaan Bertindak Tegas

3463
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia

Himpunan Komunis Kajang : PAS Desak Kerajaan Bertindak Tegas

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Mahathir Mohamed bertindak tegas berhubung satu himpunan untuk memperingati pengganas komunis di Kajang baru-baru ini.

Himpunan yang dihadiri beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) dilihat berniat jahat untuk mengangkat PKM sebagai pejuang kebangsaan sekaligus cubaan memesongkan sejarah tanah air kita.

Himpunan ini juga seolah-olah sebagai senjata serampang dua mata yang mempunyai misi gerakan komunisme.

Ucapan pemimpin DAP seperti Ronnie Liu dan kehadiran veteran PKR, Syed Husin Ali dipersoalkan, adakah ia menjadi isyarat restu DAP dan PKR menyokong komunis.

Terdahulu, cubaan menyebarkan ideologi komunis dalam buku komik dan diikuti tindakan membawa balik abu mayat Chin Peng amat meresahkan rakyat Malaysia.

Tindakan bertali arus dan tidak serik daripada puak ini memperlihatkan wujud satu pelan tindakan dan agenda yang khusus untuk mengetengahkan ideologi dan perjuangan komunis serta mencabar perlembagaan negara.

PAS mendesak satu pendirian rasmi daripada pihak kerajaan berhubung isu ini dan tindakan tegas perlu diambil bagi membendung cubaan mendoktrin ideologi komunis.

Kerajaan perlu bertindak segera bagi menstabilkan kembali ketegangan yang telah dirobek oleh pelampau tersebut.

PAS juga mendesak pendirian kerajaan berkenaan hubungan DAP dengan perjuangan komunis PKM yang dijangka mampu mengancam keamanan negara.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Muafakat Nasional, Membina Malaysia Sejahtera’

YB Ustaz Dato’ Hj Mohd Amar Bin Abdullah
Naib Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
2 Disember 2019 | 5 Rabiulakhir 1441